Dapatkan Novel 'Sebuah Pondok Di Bukit Kota' - Novel Pertama Dari Penulis.
Ini adalah novel pertama yang aku tulis dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei (2004). Novel ini sesuai untuk bahan bacaan golongan remaja/kanak-kanak, yang menceritakan tentang pengembaraan sekumpulan remaja di sebuah bukit yang bernama Bukit Kota. Novel ini juga diselitkan dengan unsur-unsur sejarah dan pengetahuan am yang amat berguna bagi pembacanya.
Bagi awda yang berminat bolehlah mendapatkannya di kedai buku Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei dengan harga $4.00 senaskah. Berikut adalah petikan dari kisah yang menarik dari novelku ini;
“Semasa Perang Dunia Kedua 1941-1945 dahulu, tentera Jepun mendarat di negara kita ini. Mereka menduduki dan mengambil alih kuasa pemerintahan negara dan British Resident. Pada masa itu ada sebilangan penduduk diambil bekerja secara paksa dan tak kurang juga yang menjadi mangsa kerana pemerintahan mereka yang kejam.”
“Masa tu tok di mana?” tanya Rahman berminat.
“Tok bekerja di kapal yang belayar dan Teluk Brunei di Muara menuju Sungai Limbang. Kapal ini kemudian singgah di kubu yang kita kenali Bandar Limbang sekarang ni dan beberapa buah tempat lagi hingga ke Medamit di ulu. Masa itu tok tak keseorangan sebab ada beberapa orang kawan diambil bekerja sekapal dengan tok. Disebabkan tentera Jepun ketika itu sangat tegas dan tidak mahu bertolak ansur dengan kesulitan kita, tok dan kawan-kawan yang lain terpaksa patuh melakukan setiap kerja yang diarahkan. Kerja-kerja kapal ni berat. Mengangkat barang-barang dengan tenaga empat kerat setiap han cukup meletihkan tambahan lagi waktu itu bekalan makanan tidak mencukupi. Kita menjadi mangsa kebuluran.”
Ulasan