![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJ3BrKuhZxPIFj-TLOXE72wvXWvjoSK1Ohf4_EoCf1WQM_7wJUqD-rcJI5OZF5TiNwofQXtG7Onfgo_zcu5huV6MAmUK9H-A290y8EWfbaDiZWURYg7Ivfp9F35MfK7a-V0IpzKds4lcoj/s200/img118.jpg)
Ada 10 sebab mengapa awda membaca karya sastera, dan ini
bergantung kepada keperluan, latar belakang dan pendidikan awda;
- Memberi pendidikan kepada
khalayaknya, misalnya jika awda membaca novel Lari Bersama Musim karya Muslim
Burmat, awda akan mendapat pendidikan dan mengetahui bencana air kemerah-merahan yang pernah
melanda perairan Brunei di suatu masa dahulu.
- Memberikan nasihat, misalnya jika awda seorang
pekerja yang membaca cerpen “Rancangan Setelah Bersara” karya Rahimi A. B. ia secara
tidak langsung menasihati awda supaya tidak malas menjalankan tugas yang telah
diamanahkan.
- Karya sastera dapat membantu memudahkan pentafsiran
sesuatu yang diketahui tetapi tidak begitu difahami oleh awda sebagai pembaca,
misalnya kebanyakan masyarakat Brunei mengetahui upacara Temarok dalam
masyarakat Dusun, tetapi belum begitu memahaminya secara lebih jelas, tetapi
jika awda membaca novel Janji Gintamini karya Pudarno Binchin, awda akan
memahami sedikit sebanyak mengenai upacara itu.
- Karya sastera dapat menghidupkan daya imaginasi
pembaca, misalnya dalam cerpen “Pulang ke Pangkal Jalan” karya Haji Lamat bin
Haji Jaafar, awda akan dapat membayangkan bagaimana keadaan hidup Hnau yang
tinggal di Kampung Chung Lung, daerah Banjaran Gunung Inthanon, Thailand
walaupun awda belum pergi ke tempat tersebut.
-
Dari segi hiburan, karya sastera dapat memberi
ketenangan kepada pembaca yang sibuk dan penat bekerja. Misalnya bagi awda yang
membaca cerita jenaka dan lipur lara dapat menjadi penghibur hati yang sedih,
atau membaca hikayat-hikayat akan dapat menimbulkan “ketenangan jiwa” yang tersendiri
bagi awda.
-
Sastera berfungsi untuk memanusiakan manusia, iaitu
untuk mendorong awda menjadi makhluk yang berbudi pekerti tinggi dan berbudaya.
-
Karya sastera sebagai ilmu pengetahuan.
Dengan merujuk kepada genre puisi, terdapat anggapan atau kecenderungan
untuk membuktikan bahawa manfaat puisi terletak pada pengetahuan yang ingin
disampaikan kepada awda melalui puisi tersebut
- Karya sastera sebagai sumber rujukan. Bagi pakar
psikologi terutamanya, berdasarkan kepada satu kognitif dalam drama dan novel. Oleh
sebab itu terdapat pernyataan yang berbunyi, “pengarang novel dapat mengajar
kita lebih banyak mengenai sifat manusia daripada pakar psikologi”.
- Karya sastera menyampaikan kebenaran. Ini
merujuk kepada sikap para sasterawan yang menceritakan kehidupan sehari-hari
dengan tindak-tanduk manusia atas kepentingan isi dan plot cerita yang
mengharapkan penceritaan benar-benar hidup dan nyata, yang dapat dijadikan
pengajaran atau kritikan dan hiburan kepada awda.
- Karya sastera sebagai catharsis. Apabila awda menonton
drama tragedi misalnya, awda disajikan dengan peristiwa yang bertentangan
dengan moral iaitu pergaduhan dan pembunuhan. Penonton merasa suka, kasihan,
takut dan juga merasa benci.Perasaan inilah yang mendorong awda untuk mencapai
catharsis, iaitu pembersihan di dalam diri daripada emosi yang sedemikian.
Pembersihan yang membawa awda untuk tidak mencontohi atau meniru apa yang
dilihat dalam persembahan drama tersebut.
Sumber rujukan: Ampuan Dr. Haji Brahim Ampuan Haji Tengah, 2006.
Fungsi Sastera. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.
Ulasan