Karya sastera dan nilainya dalam akhbar kita
Setakat ini hanya akhbar harian Media Permata dan akhbar rasmi Pelita Brunei
sahaja yang ada menyediakan ruangan bagi penulis sastera kita
menyalurkan bahan karya mereka dalam penerbitan. Walaupun ruangan
tersebut tidak begitu menyerlah dan mampu menarik ramai di kalangan
penulis muda kita untuk memberi sumbangan, akan tetapi
sekurang-kurangnya ia adalah sangat bermakna dalam memberi nafas baru
kepada kerancakan aktiviti bersastera di negara ini.
Timbul
beberapa kebimbangan jika kedua akhbar ini tidak lagi menyediakan
ruangan sastera seperti yang kita harapkan, antaranya ialah
penulis-penulis muda kita akan kehilangan upaya untuk menulis, serta
tidak akan memperoleh petunjuk untuk mengetengahkan bakat mereka dalam
bidang penulisan. Padahal kita juga menyedari bahawa ruangan tersebut
berperanan penting dalam menyuburkan daya kreativiti dan intelek yang
dapat merangsang kesinambungan budaya bersastera dalam masyarakat kita.
Di
negara ini sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu terdapat banyak usaha
penerbitan majalah dan akhbar telah diadakan, akan tetapi hanya beberapa
penerbitan sahaja yang masih kekal dan mengadakan ruangan sastera
seperti puisi, cerpen dan rencana – setakat mana yang termampu mereka
lakukan. Maka dengan ini secara optimis kita tidaklah begitu yakin
bahawa ruangan ini akan kekal selama-lamanya, melainkan dengan usaha
penulis-penulis dan penggiat sastera itu sendiri yang menentukan
perkembangannya, janganlah seperti kata pepatah ‘hidup segan mati tak
mahu’.
Apabila
kita berasa segan untuk mengadakan sesuatu apa pun tidak akan kita
perolehi dengan mudah, dan sastera kita di negara ini tidak akan hidup
seperti mana yang dirancangkan. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini kita
tidak pula melihat banyak perubahan yang telah berlaku terhadap ruangan
sastera di kedua akhbar yang menerbitkan karya penulis tempatan kita
ini, terutama sekali dalam membabitkan keramaian penulis, jumlah karya
yang bermutu tinggi, kritikan-kritikan yang bermakna dan laporan
kegiatan sastera yang berlaku di negara ini secara khusus.
Jika
hanya sekadar menerbitkan puisi dan cerpen kita sebenarnya masih lagi
tidak mempunyai kelegaan untuk bernafas dan menyatakan bahawa setakat
ini kita sudah berpuas hati dengannya. Mungkin juga ada sebahagian dari
kita boleh berbangga dengan suasana bersastera yang kita ada sekarang,
akan tetapi jika hanya dengan menerbitkan puisi dan cerpen yang
mengaitkan tema cinta atau kasih-sayang sahaja kita sebenarnya tidak
akan mampu pergi ke mana-mana.
Sebaliknya
dengan membawakan tema-tema ‘luar biasa’ seperti persoalan kemiskinan,
pengangguran, persoalan penyalahgunaan dadah, persoalan kebebasan
sosial, persoalan keagamaan dan lain-lain ke dalam masyarakat kita pada
hari ini adalah lebih bermakna, sementara kita masih belum mampu
menyuarakan satu permasalahan yang jauh lebih besar dalam kesusasteraan
sejagat.
Ruangan
sastera di akhbar bukanlah satu peluang yang sengaja diadakan
semata-mata bagi penulis kita melemparkan bahan tulisan yang tidak
mempunyai nilai sama sekali. ‘Sastera’ membawa maksud yang amat besar
dan apa pun juga bahan karya yang terbit sebagai ‘sastera’ ia sudah
tentulah mempunyai maksud dan matlamat tertentu, misalannya ‘Seni Untuk
Seni’, ‘Seni Untuk Masyarakat’ dan sebagainya. ‘Sastera’ mempunyai
pandangan, falsafah dan ideologi yang tertentu sehingga membolehkan kita
mempunyai penilaian yang baik dan yang buruk di dalam memberikan makna
dalam kehidupan ini.
Adalah
difahami bahawa dengan adanya ruangan sastera(dan juga bahasa) di kedua
akhbar ini penulis-penulis kita diharap akan lahir sebagai individu
yang mempunyai rasa tanggungjawab di dalam menanamkan nilai-nilai moral
dan status masyarakat melalui bahan karya mereka. Walau bagaimana pun
ini bukanlah satu kenyataan yang kekal dan dapat kita terima sebagai
sesuatu yang ideal, memandangkan kita masih memerlukan ramai bakat
penulis baru untuk sama-sama berganding bahu dengan penulis lama dalam
memberikan sumbangan serta menghidupkan lagi ruangan sastera di akhbar
tempatan ini.
Ulasan