Letak Pena, dan Salute untuk Penulis Muda Kita

Kadang kala kita berasa mahu letak pena saja, bukan kerana mengalah atau jemu untuk menulis. Akan tapi, hati nurani kita ada kalanya berasa kosong dan hampir tidak mahu bergerak ke depan lagi. Lalu, kita berharap akan ada penulis muda yang menyambung harapan kita selama ini untuk menuju ke sebuah wawasan yang lebih baik, dan salute untuk semuanya.

Berikut ini ialah sebuah sajak yang telah saya tulis beberapa tahun yang lalu, dan ia pernah mengingatkan saya untuk terus memegang pena sehingga kita dapat mencapai sebuah impian yang kita hasratkan - selagi hidup dan matinya kita hanya dengan hati nurani yang sungguh murni atau sebaliknya, sebagai seorang manusia yang menulis;


Apabila Penulis Mati

Apabila penulis mati
dunia adalah tempat yang menyedihkan
kerana ia telah mengakhiri kalimatnya - untuk selamanya
sesudah menulis sebuah riwayat
dan menjadikan manuskrip kehidupan ini
sangat tebal dan penuh dengan makna

bagaikan dakwat yang kering
dan pena yang bergolek di sudut meja,
kesaktiannya telah hilang di dunia ini

apabila penulis mati
bintang terpadam, daun hijau jatuh ke tanah
burung kehilangan suara, pelangi menjadi kelabu -
pintu neraka dan pintu syurga berdentum kuat
dengan debar yang telah lama dinantikan
kerana apabila penulis mati, ia akan pergi
ke suatu tempat yang paling istimewa.

kota batu
04/09/2013

Ulasan