Apabila Kedai Buku, Jurnal, Majalah, dan Surat Khabar Kita Tidak Ada Pembeli

Sering kali kita dengar, harga buku terlalu mahal harganya jika dibandingkan dengan harga sepiring makanan kegemaran yang kita nikmati setiap hari. Akan tetapi jika kita dapat berfikir dengan sebaik mungkin, kita akan dapat tahu kebanyakan buku adalah sumber ilmu pengetahuan yang patut kita baca dan pelajari.

Apabila kita latih diri kita dengan tabiat membaca, ia bukan sahaja memperkayakan ilmu pengetahuan kita, malah membaca juga akan mengisi ruang hidup kita daripada menjalani sebuah kehidupan yang salah dari segi moral dan peraturan-peraturan sosial, atau undang-undang negara.

Oleh yang demikian, buku sebenarnya tidaklah terlalu mahal harganya jika dibandingkan dengan harga sepiring makanan kegemaran yang kita nikmati setiap hari. Walaupun kita sangat jarang menemui kedai buku yang hampir dengan tempat tinggal kita jika dibandingkan dengan kedai makan, kedai runcit, pasar raya, dan gedung beli belah, kita tidak sepatutnya melupakan kedai buku.

Kira-kira 25 tahun yang lalu, kita sudah menulis sebuah sajak mengenai hidup seorang penjual buku yang berjudul Di Kedai Buku, dan terbit dalam buku Kumpulan Puisi Nakhoda Manis – Pelayaran Kedua; DBP, Brunei: 2009. Pada masa itu, kita juga sangat susah untuk menemui sebuah kedai buku, jika adapun buku-buku atau majalah, jurnal atau  surat khabar yang dapat kita beli sudahpun kelihatan lusuh dan hampir tidak ada pembeli.

Dan untuk beberapa tahun, penjual atau penjaga kedai buku itupun masih tetap sama orangnya. Ini ditambah lagi dengan pelanggan yang tidak ramai jika dibandingkan dengan pelanggan pasar-pasar besar seperti yang kita sebutkan tadi.
 
Di Kedai Buku

Seorang
penjual buku
hampir lelap
di antara rak hidupnya.

Di kaki lima
dan jalanan
asap, debu, dan deru motor
memutar ingatannya kembali
ke tanah asal.

Anehnya
ruang kedai buku ini
terpisah dari keadaan
atau dari pasar besar yang riuh
dengan pelanggan.

Seluruh hidupnya dibaca sepi
seringkali ditinggalkan pergi
tanpa pembeli
dari sejumlah judul
bukunya.

Gadong
24 November 1998

Ulasan