Cerpen 01




Mat Jenin Internasional
 
“ORANG kampung panggil kediaku Mat Jenin. Walaupun nama banarku ada, orang kampung tatap jua panggil kediaku Mat Jenin,” kata kawanku ini, kesal dengan nama famous yang digelarkan padanya sekarang. Aku suka berbual dengan kawanku ini apabila tidak ada apa-apa yang mahu kubuat.
Petang ini, aku berpeluang lagi mengunjungi kawanku ini, tapi pada kali ini aku dibawa ke bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini, sebab abangnya sudah ada bengkel baru di Tapak Perindustrian Beribi II, maka kawanku ini mengambil alih bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini dengan melebalkannya dengan nama ‘Mat Jenin Internasional’.
He he he ha ha ha... aku lalu ketawa besar ketika pertama kali melihat kawanku ini melantak lebal nama bengkelnya ini di depan simpang masuk dari jalan raya kampung kami sebulan yang lalu. Kawanku ini betul-betul gila dan lain dari kawan-kawanku yang lain, apatah lagi jika dibandingkan dengan orang-orang kampung kami yang semuanya sudah menggelar kawanku ini dengan nama Mat Jenin.
Setahuku nama Mat Jenin ini asalnya tentulah ada kaitan dengan seorang pemuda Mat Jenin yang suka berangan-angan itu. Semasa masih belajar di sekolah rendah dahulu, aku diajar supaya jangan suka “berangan-angan seperti Mat Jenin,” sebabnya “akan membawa akibat yang tidak baik,” kata cikgu kami yang memang tidak suka dengan moral cerita Mat Jenin ketika ia mengajar subjek peribahasa bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas kami pada waktu itu.
Di sebalik nasihat cikgu kami yang masih dapat aku ingat sampai ke hari ini, aku sebenarnya kagum dengan cara berfikir Mat Jenin yang avant-garde itu. Mat Jenin sebenarnya bukan berangan-angan. Tapi penceritanya sengaja mengubah motif apabila sampai pada bab Mat Jenin menjadi kaya-raya, kahwin dengan puteri raja dan mempunyai sebuah istana besar wataknya tiba-tiba dimatikan dengan menggambarkan Mat Jenin melepaskan kedua belah tangannya dari batang pokok kelapa yang dipanjatnya, lalu terjatuh ke tanah.
Jika Mat Jenin masih hidup sudah tentulah keturunannya yang terdiri dari orang-orang Melayu itu banyak yang menjadi jutawan besar sekarang. Seingatku, waktu belajar di sekolah rendah sangat jarang sekali kami menemui moral cerita seperti kisah Mat Jenin itu. Aku benar-benar berasa sedih dan hampa dengan nasib Mat Jenin yang tidak kesampaian. Walaupun aku sedar dari mula lagi Mat Jenin memang digambarkan sebagai watak seorang pemuda yang suka berangan-angan, dan adalah sangat bahaya bagi sesiapa pun yang berangan-angan ketika berada di tempat yang tinggi.
Sebab itu aku harap kawanku ini tidak akan menerima nasib yang sama dengan cerita pemuda Mat Jenin itu.
Kawanku ini sangat jauh wawasannya, sehingga kadang-kadang aku sendiri tidak faham dengan apa yang dicakapkannya. Kawanku ini pun bijak bercakap, tapi tidak banyak yang dapat aku tangkap apa maksudnya. Sehingga kawan-kawanku yang lain mengatakan kawanku ini “pintar-pintar-bodoh,” tapi aku tidak terus bersetuju sebab aku mahu melihat dahulu apa kesudahan hasil cakap-cakap kawanku ini dapat buktikan.
“Kau tahu apa sebab orang kampung panggil aku Mat Jenin. Sebabnya, ni nah pasal aku membanar-banari kan mencipta kereta terabang.”
“Kereta tarabang,” aku terkejut. “banarkah inda ni.”
“Ia tah orang kampung panggil kediaku Mat Jenin tu. Walaupun nama banarku ada, orang kampung tatap panggil kediaku Mat Jenin,” kata kawanku ini, kesal dengan nama famous yang digelarkan padanya sekarang, lalu menolak bahuku masuk ke dalam bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini.
Aku lihat di tengah-tengah ruang bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini terdapat sebuah benda besar yang ditungkup dengan kanvas.Tidak lain ini pastilah kereta terbang yang selalu dicakapkannya padaku, fikirku. Sebelum ini memang aku tidak mahu peduli apa yang kawanku ini cakapkan dan tidak mahu percaya kawanku ini benar-benar mencipta kereta terbang.
Tapi pada petang ini, aku tiba-tiba saja sudah berada di dalam bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini, dan melihat dengan mataku sendiri kawanku ini menarik kain kanvas yang sudah kusangkakan menungkup sebuah kereta terbang di dalamnya.
“Nah, lihat tah oleh mu,” kata kawanku ini dengan bangganya sebaik sahaja kain kanvas mula dibuka.
Benar, seperti yang dicakapkannya. Aku sekarang sedang berdiri di sisi sebuah kereta terbang yang selalu dicakap-cakapkannya selama ini. Aku pun melihat-lihat kereta terbang berwarna silver metalik ciptaan kawanku ini, yang mempunyai dua buah enjin di sisi kiri dan kanan. Mula-mula aku melihat dari sisi depan, kelihatannya hampir sama dengan kereta Formula One yang pernah aku saksikan di siaran sukan motor TV dan aku lihat di majalah.
Cuma bezanya kereta terbang berwarna silver metalik ciptaan kawanku ini mempunyai dua buah enjin di sisi kiri dan kanannya, serta tidak mempunyai tayar seperti kereta Formula One itu.
Sesudah puas melihat-lihat dari sisi depan, aku pun berjalan dan berdiri di sisi kanan. Kemudian aku melihat di bahagian belakang yang kelihatan padat dengan jentera induk serta bercorong empat yang masing-masing sebesar sebiji bola sepak, lalu aku beralih lagi ke sisi depan semula sambil menggeleng-geleng kepala melihat ke sisi kirinya.
Kawanku ini cuma tersenyum memperlihatkan hasil kepintarannya mencipta kereta terbang berwarna silver metalik yang mempunyai dua buah enjin di sisi kiri dan kanan, kelihatannya hampir sama dengan kereta Formula One, dan di bahagian belakangnya yang kelihatan padat dengan jentera induk serta bercorong empat yang masing-masing sebesar sebiji bola sepak ini padaku.
“Hebat! Sekali pandang macam kereta Formula One, tapi kau mungkin boleh majukan lagi macam kapal angkasa U.F.O atu,” kataku, antara percaya dengan tidak kenderaan ini boleh digunapakai dan benar-benar boleh terbang, atau hanya barang main-main saja.
Banar-banar gila pakah Mat Jenin ani, kata hatiku.
Kemudian, tanpa berkata apa-apa kawanku ini pun masuk ke dalam bilik kerjanya di dalam bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini. Sementara aku masih belum puas melihat-lihat kereta terbang berwarna metalik ciptaan kawanku ini, dan mula berasa percaya kereta terbang berwarna silver metalik ciptaan kawanku ini memang real punya apabila aku menjenguk ke dalam tempat memandunya. Aku dapati terdapat tiga buah monitor kecil, sepuluh biji meter dan berpuluh lagi punat kecil melengkapi di bahagian memandu di samping satu alat pengemudi seperti joystick, dua pedal depan bawah kerusi dan dua batang seakan pengandala automatic speed kereta biasa di sisi alat pengemudi.
Dan yang menyenangkan hatiku, kereta terbang berwarna silver metalik ciptaan kawanku ini nampaknya mempunyai dua buah tempat duduk di dalamnya. Tentulah aku berpeluang menumpang kereta terbang ini jika kawanku nanti mahu menerbangkannya ke mana-mana, fikirku.
Ah, aku hampir tidak percaya, secara diam-diam kawanku ini mempunyai bakat besar.
Sepuluh tahun dahulu kawanku ini telah ditamatkan pengajiannya dari universiti kerana gagal menghadiri kuliah dan peperiksaan semester ke enamnya; sebelum sempat memenuhi syarat untuk penganugerahan Ijazah hingga tahun ke empat. Pendek kata, kawanku ini telah gagal menamatkan pengajiannya di universiti dahulu, tapi sekarang kawanku ini secara diam-diam sudahpun memiliki sebuah kereta terbang hasil ciptaannya sendiri.
Kawanku ini memang gila-gila sedikit, dan semasa ditamatkan dari pengajian di universiti dahulu kata kawanku ini, dia sudah hampir-hampir gila kerana tidak menyangka dia sudah digilakan oleh orang yang tidak sanggup melihat kejayaannya. Pendek kata, kawanku ini pernah di cuba-cubai oleh rakannya yang pemandai dengan ilmu hitam dan sihir.
Walau bagaimanapun, mulai petang ini aku harap tidak akan ada lagi orang yang cemburu dengan kejayaan kawanku ini. Kawanku ini tersangatlah baiknya, kerana tidak pernah menaruh dendam dengan sesiapa yang berbuat aniaya padanya, termasuk orang-orang kampung yang sudah menggelar kawanku ini Mat Jenin. Oleh sebab kawanku ini sangat lurus orangnya, jadi tidak pernah kawanku ini menyalahkan orang-orang kampung yang mengelarkan dirinya Mat Jenin, atau rakannya yang pernah mencuba-cubai kepandaian ilmu hitam dan sihirnya itu pada diri kawanku ini. Malah kawanku ini menyalahkan dirinya sendiri, kerana tidak pandai merahsiakan kepintarannya sehingga dicemburui orang.
Maka kerana ini, kawanku ini sekarang cukup berhati-hati dengan apa saja yang dibuatnya. Sepuluh tahun sejak ditamatkan pengajiannya dari universiti, kawanku ini sangat jarang kulihat keluar dari bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan di kampung kami ini. Kalau ada orang terlihat kawanku ini keluar pun, tidak ada siapa yang tahu ke mana dan apa tujuannya.
Kawanku ini memang misteri, kata sesetengah orang-orang kampung lagi.
Namun pada petang ini aku bernasib baik kerana di beri peluang mengetahui sebahagian kecil dari rahsia besar kawanku ini. Ini baru saja kereta terbang dalam tempoh sepuluh tahun, menjelang tahun dua ribu di alaf baru ini. Aku fikir sepuluh tahun akan datang mungkin kawanku ini sudah boleh menjelajah ke angkasa lepas. Ini tidak mustahil, sebab aku rasa baru seabad sejak tahun seribu sembilan ratus tiga dahulu adik-beradik Wright telah berjaya mencipta kapal terbang, diikuti pada dua belas hari bulan April tahun seribu sembilan ratus enam puluh satu, Soviet telah menghantar Yuri Gagarin mengelilingi orbit bumi, sehingga pada dua puluh hari bulan Julai tahun seribu sembilan ratus enam puluh sembilan, Amerika Syarikat pula mendaratkan angkasawannya - Neil Armstrong, Buzz Aldrin dan Micheal Collins di bulan.
“Ani tah hasil teknologi yang telah diperkembangkan oleh ahli sains dan jurutera angkasawan dunia yang berpusat di Barat atu,” tiba-tiba kawanku ini kulihat keluar dari bilik kerjanya di dalam ruang bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini.
“Kediaku cuma ambil mana-mana yang perlu, dan terciptatah kereta tarabang ani dangan mudahnya,” kata kawanku ini lagi sambil meletakkan kertas pelekat yang bertulis “2000 Skycar by Mat Jenin International” betul-betul di bahagian depan kereta terbang berwarna silver metalik ciptaan kawanku ini.
“Malam ani aku mahu bawa kau bersiar-siar di sekitar kepulauan Borneo,” kata kawanku ini tanpa melihat ke mukaku.
“Jangan khuatir, waktu malam inda akan ada orang yang tahu kita tarabang di udara. Lagi pun kita ambil jalan yang inda ada orang boleh melihat kitani. Ingat, ani rahsia yang perlu kitani jaga selepas ani.”
Kawanku ini mula masuk ke tempat memandu, sedangkan aku masih bingung dan teragak-agak mahu masuk ke tempat duduk di dalam kereta terbang berwarna silver metalik kawanku ini.
 “Kau jangan khuatir, sudah sepuluh kali kediaku mentest kereta tarabangku ani di sekitar pulau Borneo. Sudahku selasaikan sekian banyak experiments yang sebalum ani menghadapi berbagai masalah teknikal,” katanya, cuba meyakiniku.
“Bah mana saja,” kataku, lalu masuk ke dalam kereta terbang berwarna silver metalik kawanku ini dan duduk di sisinya macam si paluian.
Sepuluh minit kemudian kami betul-betul berada di ruang udara sesudah kawanku ini mengemudi kereta terbang berwarna silver metalik yang diciptanya ini keluar dari pintu besar bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkan ini; dan apabila kulihat ke bawah rumah bengkel kereta abangnya yang sudah lama ditinggalkannya ini, semuanya kelihatan semakin jauh dan mengecil, serta pemandangan di sekitar kampungku kelihatan semakin luas dengan pohon-pohonan yang menghijau hingga ke tepi pantai Laut China Selatan yang kelihatan berwarna jingga ketika dipancar oleh cahaya matahari petang.
“Orang kampung panggil kediaku Mat Jenin. Walaupun nama banarku ada, orang kampung tatap jua panggil kediaku Mat Jenin,” kata kawanku ini lagi, seolah-olah masih kesal dengan nama famous yang digelarkan padanya.
Sementara aku pula tidak dapat berkata apa-apa. Lagipun, aku sudah mula berasa takut-takut kalaulah ini sebahagian dari ‘angan-angan Mat Jenin’ seperti pemuda Mat Jenin itu. Dan lagi, bukankah benar kalau kita suka berangan-angan di tempat yang tinggi - lalu terjatuh, tersangatlah merbahayanya! Tapi dengan fikiran yang masih sedar dan waras, pada masa yang sama aku juga berasa sangat gembira apabila mendapati kami sudah berada di ruang udara sekarang, dan kawanku ini mula meningkatkan kelajuan kereta terbang berwarna silver metalik ciptaannya ini menuju ke arah selatan, serta meluncur laju dengan kadar kelajuan seribu knots sejam; dan bizzzzzzzzzzzzzzzzzz…

*** Cerpen ini pernah diterbitkan dengan judul yang sama dalam Bahana, Bil. 355 Jil. 47 [Jun 2012]. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka: 13-16

Ikuti cerpen Puasha yang lainnya: Mat Jenin Internasional | Temuduga | Hipotesis Gila | Maaf | Cinta Cinta Cinta: Satu Persoalan Mengenai Hukum Bercinta di Internet | Tuhan Maha Mendengar 

Ulasan