Cerpen 06



Tuhan Maha Mendengar

Hidup seolah-olah awda mati esok, hidup seolah-olah awda hidup untuk selama-lamanya - Mahatma Gandhi. Petikan ini telah aku catat di muka surat pertama sejak aku menulis di dalam buku-buku diariku. Aku tidak pernah kenal siapa sebenarnya Mahatma Gandhi itu dalam hidupku, akan tetapi aku sudah pernah menonton beberapa buah filem, dan buku-buku yang menceritakan mengenai riwayat hidupnya. Beliau adalah salah seorang tokoh yang sangat dikagumi oleh beberapa kaum masyarakat di dunia ini, terutama masyarakat India yang miskin dan berjuang demi kemerdekaan tanah air mereka suatu ketika dahulu.

Petikan itulah juga yang mendorongku untuk menulis buku-buku diariku itu - sementara aku masih hidup, dan melangsungkan hidup ini dengan ikhlas dan dengan rasa rendah diri. Aku tahu kebanyakan orang menganggap hidup ini percuma sahaja; sehingga ada orang hanya tahu memenuhi kehendak-kehendak biologi atau seksualiti sahaja, tanpa menggunakan otak yang sihat dan waras berlandaskan ilmu pengetahuan yang sebenarnya boleh kita pelajari di mana-manapun di dunia ini. Kebanyakan orang hanya mahu mencari makan dan beranak pinak sahaja dalam hidupnya, malah mereka juga seolah-olah tidak mahu mempelajari dan menghargai ilmu yang sebenarnya sangat penting untuk melangsungkan hidup di dunia ini dan di hari akhirat kita kelak. Jadi, cerita ini adalah merupakan sebahagian dari catatan-catatan yang berkaitan dalam hidupku - yang telah kutulis dari beberapa buah buku diariku sebelumnya;

I.

Sebaik sahaja menamatkan zaman persekolahannya, ayah telah berkahwin dengan gadis pilihannya - seorang rakan dan jiran sekampung yang sudah cukup lama dikenalinya. Kemudian mereka mempunyai tujuh orang anak yang nanti diharap akan menyambung legasi keluarganya. Akan tetapi, ayah sedar semua itu seperti tidak akan pernah berlaku, kerana ibunya semakin lama semakin mendesak; dan untuk memutuskan hubungan keluarga yang telah sekian lama dibina - adalah satu dosa, satu hal yang tidak mungkin dapat diterima oleh akal yang sihat. Namun seorang ibu adalah segala-galanya; ayah selalu ingat itu dan selamanya akan sentiasa mentaatinya. Ayah akan sentiasa mendengar apabila ibunya memberi nasihat, ayah akan sentiasa menurut apabila itu yang ibunya mahu, dan ayah akan sentiasa berlaku jujur apabila ibunya mahu segala-galanya berjalan dengan baik. Akan tetapi, ini bukanlah seperti yang ayah mahu sebenarnya, dan ibunya tidak pernah tahu mengapa ayah tetap menurut kemahuannya, dan masih terus bertahan dan akhirnya meneruskan hidup di atas kakinya sendiri sehingga sekarang.

II.

Pagi ini, aku lihat ayah sedang duduk membaca sebuah surat khabar harian sambil menikmati sarapannya. Ayah cuma duduk sendirian di ruang dapur yang tersusun rapi ini, dan anak-anak serta cucu-cucunya sudah tidak ada bersama. Lama, sejak anak-anak yang lainnya berkahwin dan mempunyai anak-anak sendiri, memiliki keluarga dan rumahtangga yang semakin membesar, dan yang lebih penting mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang mereka perlukan dalam hidup ini. Selesai membaca dan bersarapan, ayah keluar ke garaj kereta yang dibangunnya sendiri di sisi rumah kami, lalu menghidupkan enjin kereta Ford Rangernya serta memasang radio; aku seakan dapat mendengar dengan jelas - Berita Pagi sedang bersiaran waktu ini, dan itu sudah cukup membuat ayah termenung lama sehingga siaran berita itu berakhir dan suhu enjin kereta Ford Rangernya sudah seimbang.

Sejak pencen dari jawatannya dua belas tahun yang lalu, ayah selalu sahaja kelihatan murung dan gelisah menjalani kehidupan hariannya, dan langkahnya tidak lagi seperti seorang lelaki yang pernah aku kenal - yang dengan penuh semangat dan pagi-pagi lagi sudah keluar dari pintu rumah kami untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Kerani di jabatannya; dan sekali gus sebagai seorang ayah yang mempunyai sebuah tanggungjawab yang paling besar dalam menyara hidup kami sekeluarga. Akan tetapi sekarang, hampir setiap pagi aku lihat ayah cuma duduk membaca sambil menikmati sarapannya, memanaskan enjin kereta Ford Rangernya dan mendengar siaran berita pagi dari radio keretanya yang berlangsung selama lima belas minit itu.

Suatu hari, aku lihat ayah kelihatan gembira sekali sebaik sahaja dia menerima sepucuk surat rasmi dari bekas Ketua Jabatannya - sekali gus mewakili Urusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia; Pingat Indah Kerja Lama, katanya sebaik sahaja aku bertanya kepadanya. Ayah lalu menyerahkan sepucuk surat rasmi yang ditujukan kepadanya itu ke tanganku, dan ia ternyata benar - akan tetapi menurutku, ayah sudah hampir setahun pencen dan pingat itu sudah tidak ada gunanya lagi. Baguslah, kata ayah sebagai menghargai penghargaan yang akan diberikan. Ini adalah satu penghormatan di atas jasa-jasa ayah selama ini, kata ayah lalu masuk ke biliknya dan keluar mendapatkan aku dengan mengenakan Baju Cara Melayu serba hitam dan lengkap dengan songkoknya. Ayah sudah lama menunggu saat-saat seperti ini, dan inilah yang ayah mahukan selama berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, kata ayah lagi tanpa memandangku. Akan tetapi, aku sangat risau kegembiraan ayah tidak akan bertahan lama, dan ayah akan kembali murung lagi dan gelisah sepanjang hari.

Sehingga pada hari penganugerahan itu tiba, ayah pulang ke rumah dan menunjukkan pingat yang telah diterimanya dengan bangga; tahniah, kataku. Ayah berdiri tegak dan tersenyum di depanku dengan Baju Cara Melayu serba hitam yang sudah disemati pingat itu - lengkap dengan songkoknya. Suatu hari nanti kau pun mesti mempunyai pingat seperti ini, katanya kepadaku. Selama beberapa hari, ayah kelihatan ceria dan hampir tidak berhenti-henti bercerita kepada kami - bagaimana dia telah menjalankan tugasnya dan bekerja dengan penuh amanah serta bertanggungjawab - sehingga ayah layak menerima pingat itu; dan bagaimana dia membesarkan dan mendidik kami hanya dengan semangat yang besar dan kuat untuk meneruskan hidup seperti manusia lain di dunia ini. Ayah benar, dan aku berasa sangat berhutang budi kepada ayah selama manapun, dan berkongsi kegembiraan ini dengannya.

III.

Semalaman aku tidak dapat tidur dengan nenyak, namun pagi ini aku kuatkan juga semangatku untuk bangun awal dan bersiap-siap untuk pergi bekerja. Manakala anak sulungku sudah mula menunggu di meja makan bersama adik perempuannya di tengah ruang dapur pondok kecil keluargaku ini. Mereka sudah siap berpakaian sekolah, kelihatan kemas dan cuma memerhatikan ibu mereka menyediakan sarapan pagi untuk kami. Mereka adalah anak-anak yang sangat patuh dan sentiasa mentaati perintah kedua orang tua, kata hatiku ketika memerhati mereka dari ruang tengah ini sambil berharap - mudah-mudahan mereka akan terus membesar menjadi orang dewasa seperti itu. Jika tidak, aku akan menjadi seorang ayah yang gagal menyempurnakan tanggungjawabku dan mengembirakan isteriku sepanjang hidup. Aku tidak mahu begitu, dan menjadi seorang ayah dan suami yang tahunya siuk sendiri.

Abang jangan lupa yang kita juga akan mempunyai seorang lagi ahli baharu di dalam keluarga ini, kata isteriku mengingatkan; dan semalam ia mengulangi lagi peringatannya itu sehingga aku tidak dapat tidur dengan nenyak dan bangun pada pagi ini dengan perasaan lesu. Kenapa kita perlu mempunyai seorang anak lagi, Mah. Aku seakan mengeluh sebaik sahaja isteriku mengenggam telapak tangan kananku, lalu meletakkan muka serta telinganya ke dadaku. Aku tahu ia sering berbuat begini dan mendengar degup jantungku yang dahulunya berdegup kencang, dan kini degupan itu semakin lemah. Aku bukanlah seorang ayah atau suami yang pintar, Mah – aku ini orang bodoh untuk berurusan dengan orang-orang yang berada di atas kita itu, kataku lagi; dan mengingatkan padanya, sudah beberapa tahun Borang Permohonan Bantuan Perumahan telah kami sampaikan kepada mereka, tapi sampai sekarang masih belum ada khabar beritanya lagi. Tuhan Maha Mendengar, bang. Kita mesti terus berusaha dan berdoa agar semua harapan kita dimakbulkan Tuhan, kata isteriku dengan sesungguhnya. Anak-anak ini dan anak yang ada dalam kandungan Mah ini juga adalah rezeki kita – abang mesti ingat, tambah isteriku lagi.

Dan pagi ini kulihat isteriku masih tetap beraksi seperti hari-hari yang lalu, masih tetap seperti minggu-bulan-bahkan bertahun-tahun yang lalu - sejak kumengenalinya. Dia masih tetap mengurus anak-anak dengan baik seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, masih tetap tabah dan setia bersamaku walau kehidupan kami hanya dengan apa adanya sahaja. Aku cuma seorang Pemandu, Mah, kataku ketika mula bercinta dengan isteriku ini dahulu. Lagipun Pengurus Syarikat di mana abang bekerja itu seperti tidak mahu membenarkan abang berkahwin dengan kau. Abang cuma diberi gaji hari, dan sejak beberapa lama gaji abang masih belum naik lagi, walaupun sudah bertahun-tahun abang memandu kereta pick-up syarikatnya itu. Akan tetapi apapun alasanku, dia masih tetap mahu bersamaku lalu kami menikah atas persetujuan kedua belah keluarga kami hanya dengan apa adanya sahaja – kerana kami percaya cinta dan hidup berumah tangga itu sudah pasti akan ada pahit-manisnya seperti yang dirasai oleh semua manusia yang hidup di dunia ini. Jadi, kau jangan terlalu bimbang mengenainya. Tuhan Maha Mendengar setiap apa yang kita keluhkan, dan kau harus sentiasa berdoa serta bersangka baik dengan-Nya, ulang isteriku lagi.

IV.

Ibu tidak pernah menerima pendidikan formal dalam hidupnya, kerana ayahnya tidak pernah mahu dan bersetuju untuk menghantarnya ke sekolah. Menurut ayahnya, setinggi manapun pendidikan yang ibu perolehi di sekolah nanti, sebagai seorang wanita tugas ibu masih tetap berada di dapur dan mengurus anak-anak serta makan-minum suaminya. Seorang wanita tidak layak menjadi pemimpin, dan apatah lagi memimpin sebuah masyarakat yang memerlukan tenaga dan fikiran seperti seorang lelaki. Itu kata dan pendapat ayahnya dahulu, akan tetapi ibu tidak pernah berputus asa dan membiarkan kata dan pendapat ayahnya itu memusnahkan harapan dan impiannya selama ini. Empat puluh lapan tahun yang lalu, ibu telah dijodohkan dengan pemuda pilihannya lalu melahirkan aku pada usia yang masih muda – lima belas tahun. Dan selepas itu, melahirkan enam orang lagi adik-adikku dalam jangka waktu beberapa tahun sehingga usianya meningkat dewasa. Akhirnya, ibu menjadi seorang wanita tua yang hebat dan kuat di samping suaminya, dan juga kami – anak-anaknya sehingga kini.

V.

Ketika aku menemui ibu di pasar tamu ini, orang ramai sudah mula berkerumun di setiap sudut pasar dan mereka semua sibuk membeli-belah. Ibu kelihatan masih tetap bergembira dan ramah mesra dengan setiap pelanggannya – inilah caranya jika kita mahu menjadi seorang peniaga yang berjaya, kata ibu. Ya ya ya, sejak berniaga di pasar tamu ini ibu masih sahaja mengulang-ulangi katanya ini kepada kami, seolah-olah kami - anak-anaknya tidak pernah mengerti apa yang sedang dikerjakannya. Kerana itu aku tidak pernah dibuyuk walau tidak pernah pergi belajar ke sekolah seperti kamu semua, ujarnya lagi. Bayangkan kalau aku cuma duduk diam di rumah, walau dalam usia tua ini aku tidak lagi larat mahu melayan sikap ayahmu yang mahunya cuma wang sekelip mata, tanpa usaha dan bekerja rajin seperti ini. Sedangkan dia bernasib baik daripada aku kerana diberi peluang pergi belajar ke sekolah tinggi, sehingga mampu mengenal ABC, membaca dan mengira; dan aku tidak mempunyai kepandaian seperti itu.

Dan, ibu juga tidak pernah kulihat merunggut jika sayur-sayuran segarnya tidak banyak yang terjual, apatah lagi untuk berputus asa dengan keadaan hidup kami sekeluarga. Bermula dari berkebun sayur-sayuran secara kecil-kecilan di kawasan tanah lapang milik keluarga, ibu juga menjadi penjual sayur-sayuran segarnya itu di pondok kebunnya, dan sekarang hanya mengisi masanya sebagai peniaga sayur-sayuran di pasar tamu sebagai pekerjaan tetapnya. Setiap hari, ibu akan duduk di sini menunggu pelanggan dan juga pembekalnya; lalu ia telah mengajar kami untuk selalu berterima kasih kepadanya, tambahan lagi kerana telah membesarkan dan mendidik kami hanya dengan kesabaran dan pekerjaannya ini, serta dengan sebuah pengorbanan dan keikhlasan yang tiada tolok bandingnya.

Apa pun kita mesti bersyukur kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pasar tamu ini dibuka, dan menggalakkan kita semua untuk berniaga di sini, Lai, kata ibu lagi. Kau lihat di seberang sana – di The Mall itu, aku lihat ada sebuah Pasar Raya yang menjual pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan segar – semuanya mengusik hatiku. Bayangkan kalau aku juga memiliki sebuah Pasar Raya seperti itu, kau tidak perlu lagi bekerja keras dan berbadan kurus seperti ini – makan gaji dan hanya tahu menjadi pemandu kereta pick-up syarikat orang lain seumur hidupmu. Lalu pondok kecilmu itu juga akan aku ganti dengan sebuah banglow yang besar dan cantik; dan biarlah anak-anak dan isterimu hidup senang, Lai. Janganlah kau susah-susahkan lagi kehidupan mereka dengan kebodohanmu ini. Ibu sudah mula berleter panjang dan menatap wajahku – lama, seperti ada lagi perkara yang belum selesai dalam hidupku.

VI.

Ketika aku pulang ke pondok kecil kami pada petang itu, hari sudah mulai gelap dan cuma kelihatan cahaya kecil dari pelita minyak tanah menembusi di celah-celah dinding. Aku juga seakan dapat mendengar suara anak sulungku berbual-bual bersama adik perempuannya dari ruang tengah pondok, dan sesekali mereka menyanyi-nyanyi riang seperti tidak ada apa-apa masalah yang mereka hadapi di sepanjang waktu mereka mengikuti mata-mata pelajaran yang diajarkan di sekolah, atau keadaan pondok kecil keluargaku yang sudah beberapa tahun kami diami ini. Sebaik sahaja aku masuk ke dalam, mereka segera mendapatkan aku lalu bertanya itu dan ini; yang menyebabkan aku berasa sangat-sangat menyayangi mereka setelah sehari suntuk berpenat lelah bekerja di bandar. Manakala isteriku - walau kandungannya semakin sehari semakin membesar, masih sahaja bergerak lincah dengan tugasnya di ruang dapur pondok kecil keluargaku ini untuk menyediakan makan malam kami – dia hanya sekilas lalu memandangku serta tidak berkata apa-apa.

Sehinggalah aku selesai mandi dan berpakaian malam, lalu duduk bersama mereka untuk menikmati juadah makan malam, isteriku lalu bersuara; siang tadi ayah bersama Ketua Kampung dan orang-orang dari Pusat Dakwah Islamiah mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam ada datang ke pondok kita ini, dan bercakap mengenai Permohonan Bantuan Perumahan yang kita ajukan dahulu. Kata mereka permohonan kita itu sudah diluluskan dan projek pembinaan akan bermula bulan depan, bang. Kalau abang bersetuju, Ketua Kampung menjemput kita untuk berjumpa dan menandatangani dokumen persuratan yang diperlukan - isteriku lalu mengunjuk sepucuk surat rasmi kerajaan yang ditujukan kepadaku ke tangan kananku; dan ketika membaca isi kandungan surat yang disampaikan, aku mula melihat sinar cahaya yang terang benderang memenuhi seluruh ruang pondok kecil keluargaku sekarang.

Cerpen ini turut dimuatkan dalam Chong Ah Fok (Peny.), 2017. Anugerah Terindah. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. hal. 11-18.

Ikuti cerpen Puasha yang lainnya: Mat Jenin Internasional | Temuduga | Hipotesis Gila | Maaf | Cinta Cinta Cinta: Satu Persoalan Mengenai Hukum Bercinta Di Internet | Tuhan Maha Mendengar

Ulasan