Cerpen 02



Hipotesis Gila

GILA. Ada banyak makna yang kami beri tentang perkataan gila ini, tapi saya tidak dapat menyenaraikan kesemuanya di sini.
Mula-mula seorang kawan saya memberi makna, gila ialah keadaan apabila seseorang itu tidak lagi mengenali dirinya sendiri dan tidak mampu berinteraksi dengan masyarakat. Kemudian kami sama-sama berpendapat dan mengetegorikan gila ini sebagai sejenis penyakit. Bagaimana pun perkataan gila memang tidak ada dalam daftar jenis penyakit di hospital-hospital, yang kemudian kami fahami bahawa orang gila-gila sebenarnya tidak dirawat di hospital, kecuali bagi orang-orang yang menghadapi masalah jiwa dan mental.
Gila dan sakit jiwa atau mental mungkin tidak sama.
Apa sebenarnya gila ini dan siapakah orangnya yang boleh dikategorikan gila. Inilah catatan saya tentang jenis-jenis gila yang terpilih; gila bahasa, gila kuasa, gila pangkat, gila wang, gila judi, gila uri, gila perempuan, gila talak, gila bola, gila babi, gila-gila, dan sebagainya.
“Jangan banyak fikir gila karang!” kata kawan saya yang lain, saya panggil dia Mad, iaitu kependekan dari nama penuhnya, Ahmad. Kawan saya ini, Mad pun sudah menambah satu jenis gila lagi. Iaitu seseorang itu boleh jadi gila apabila banyak berfikir.
Ha ha ha ha ha ha. Saya memang suka banyak berfikir, dan mengenai peringatan Mad ini saya tidak tahu apakah saya juga sudah jadi gila kerana sejak kebelakangan ini saya belum juga berhenti berfikir-fikir. Kalau Mad tahu saya dalam keadaan begini sekarang juga dengan tidak ragu-ragu Mad sudah tentu terus cap saya gila.
Ini memang kerja gila.
Saya tidak ada kajian khusus mengenai tajuk ini, melainkan terfikir bahawa terdapat ramai orang gila yang boleh saya temui dalam sejarah di muka bumi ini.
Dan saya membuat pertimbangan gila bahawa dunia ini sudah tentu tidak akan berada dalam keadaan seperti sekarang ini jika tidak ramai orang-orang gila yang pernah hidup di muka bumi ini.
Ketika Elexander G. Bell sedang berusaha menghubungi rakannya melalui kawat, orang yang melihat perbuatannya ini berasa tidak masuk akal dan menganggap ia sudah gila, tetapi hasilnya ialah telefon. Aldof Hitler pula entah-entah dialah, yang paling gila apabila mewujudkan peperangan besar dalam sejarah dunia dengan mengorbankan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Dan sekarang ini entah berapa banyak lagi hasil dari fikiran orang-orang gila, mereka berkurung di bilik kerja dan menghadap monitor komputer sehingga memakan masa berjam-jam lamanya. Sehingga kita boleh berhubung ke dunia luar setiap detik setiap jam setiap hari melalui teknologi yang dihasilkan oleh orang-orang sebegini.
Saya percaya ramai lagi arang gila yang boleh bercakap atau berfikir tentang hal yang aneh-aneh semata untuk kesejahteraan bangsa, dan manusia pada keseluruhannya; sesuatu hal yang tidak boleh dicapai oleh pemikiran orang normal.Orang normal pula jika boleh akan menggunakan akalnya untuk berkuasa dan mengekalkan atau mementingkan gaya hidup di dunia ini saja, dan kurang sekali mengingati mati.
Demikianlah hipotesis saya tentang gila.

Hujan turun rintik-rintik ketika malam baru saja bermula. Tamu terbuka di sini sudah mula dikunjungi oleh ramai orang. Saya tidak tahu sama ada mereka ini semuanya mahu membeli juadah yang diperdagangkan atau cuma sengaja mahu melihat-lihat; maksud saya orang melihat orang.
Ada banyak pondok jualan yang menyediakan pelbagai makanan di sini yang sudah tentu mengundang selera para pengunjungnya. Bau dari pondok-pondok ini saja sudah cukup menyelerakan untuk menciumnya, tapi saya tidak pasti bau dan makanan yang mana, dan di pondok jualan mana yang paling menyelerakan. Sejak mula lagi saya tidak tahu mahu beli apa-apa makanan pun.
Lihat dulu, kata hati saya.
Saya sangat tertarik dengan suasana yang ada - berasap, terutama pada cahaya lampu-lampu neonnya yang berwarna-warni. Setiap pondok jualan dipasang dengan lampu-lampu begini, tidak salah saya seperti dalam sebuah kelab disko - cuma musiknya saja yang tidak ada.
Setiap orang akan berkumpul di sekeliling pondok, seolah-olah sangat berminat dengan cahaya yang bersinar di tengah-tengah pondok sambil menikmati juadah makanan yang lazat-lazat. Saya juga melihat rata-rata para pengunjung di sini memakai topeng. Topengnya ada berbagai rupa, entah rupa apa-apa pun saya tidak tahu. Apakah saya tidak salah lihat, atau saya sedang berada di alam lain.
Kami tidak bersendirian kerana saya juga dapat melihat begitu banyak kelkatu malam berterbangan dan berkeliling di setiap warna cahaya lampu-lampu neon yang dipasang, terutama di pondok-pondok jualan, sehingga saya tidak dapat membezakan antara orang-orang bertopeng dengan kelkatu malam ini. Tapi, nampaknya keghairahan kelkatu malam tidak setanding dengan keghairahan orang-orang bertopeng ini, apa lagi di suasana gelap yang sebenarnya memerlukan setiap makhluk yang hidup sangat memerlukan cahaya-Nya.
Saya juga tidak dapat mengenal dari sekian banyak bau dari berbagai jenis masakan yang didagangkan. Mula-mula selera saya terbuka sebaik saja mencium bau ayam panggang, tapi ternyata saya hanya menemukan tongkeng ayamnya saja. Sayat tidak suka makan tongkeng ayam, bukan kerana saya sudah puas memakannya, tapi malam ini rasa-rasanya saya mahu menikmati makanan yang bukan dari bahagian-bahagian ayam pula.
Saya berjalan terus di antara pondok-pondok yang banyak. Setiap orang yang memakai topeng di sini juga berjalan seperti hanya mahu bersiar-siar di kawasan tamu malam ini. Setelah lama berjalan saya tidak tahu sama ada terpaksa membeli tongkeng ayam saja atau pulang berlapar ke bilik sewa saya di Kampong Ayer, kerana di sini saya hanya melihat hampir kesemua pondok menjual bahagian-bahagian ayam saja lebih dan dagingnya.
Pondok di. pintu masuk sana saya dapati sudah ada menjual satay ayam, di sebelahnya pula menjual burger ayam, di sebelahnya lagi menjual nasi ayam, di sebelahnya lagi menjual hati ayam, di sebelahnya lagi mungkin menjual anak ayam, dan jauh di sudut lain tamu ini barulah saya menemukan makanan lain dari yang lain, iaitu juadah masakan makanan laut. “Sea Food Stall,” saya membaca kain rentang di depan pondoknya, tapi yang jelas bau panggang tongkeng ayam lebih kuat mempengaruhi fikiranku.
“Beri saya sotong panggang lima cucuk,” pinta saya kepada peniaga di pondok menjual makanan laut ini. “Udang lima cucuk dan jangan lupa sosnya.”
“He he he he he ha ha ha ha ha ha ha,..”.
Tiba-tiba saya terdengar seorang lelaki ketawa kuat tidak jauh dari pondok menjual makanan laut ini. Di sana, di tepi sungai dekat janibatan yang menghubungkan kawasan tamu ini ke pusat bandar, saya lihat seorang lelaki kira-kira sudah berusia lima puluh lima tahun kelihatan memasang sebuah unggun api dan tertawa terus. Saya sangkakan tentulah ada sesuatu yang lucu sehingga membuatkannya tertawa begitu. Tapi semakin lama ketawanya semakin galak dan sebelum ini saya tidak pernah melihat dan mendengar orang ketawa begini seumur hidup saya.
“Ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha he he he he he he he he he he he he he he heh ehh...!”
“Berapa harga kesemuanya.” Tanya saya pada peniaga di pondok juadah makanan laut ini sebaik saja ia menghulur kotak bungkusan sotong panggang dan udang panggang yang saya beli darinya.
“Sepuluh ringgit,” kata peniaga ini dari belakang pondok jualannya, ia tersenyum.
“Kenapa mahal,” kata saya. “Sotong seringgit secucuk, udang seringgit secucuk. Lima cucuk campur lima cucuk jadi sepuluh cucuk, sepuluh ringgit!” jelas peniaga ini.
“He he he he he he he he he he he he he he he ha ha ha ha ha ha ha ha hah hah hah hah hah hah hah hah eh eh eh...!”
Saya lalu mengeluarkan beg duit dari poket seluar, dan spontan menghulur kepadanya wang kertas seratus ringgit, inilah satu-satunya wang yang saya ada ketika ini.
“Tidak ada duit kecil,” kata peniaga ini sebaik saja melihat duit kertas seratus ringgit yang saya hulurkan ke tangannya.
“Tidak ada,” kata saya.
“Tidak apa. Boleh kau tunggu sekejap,” peniaga ini kemudian beredar dari belakang pondoknya, lalu berteriak “Siapa ada duit kecil! Siapa ada duit kecil seratus ringgit!”
“Ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha he he he. Duit. Duit sial. Duit sial. Sial. Sial!” Sekali ini saya dengar lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun itu sudah memperlahankan ketawanya dan merunggut. Tidak seorang pun yang ada bersamanya. Unggun apinya semakin marak, dan saya lihat mukanya seakan terbakar sama. Saya mula tercium bau hangus yang tidak lain sudah tentulah dari bahan yang dibakar oleh lelaki itu, kerana bau hangusnya lain dari bau-bau makanan panggang yang banyak dijual di kawasan tamu ini. Dan saya mula terfikir mahu melihat apa saja yang dibakarnya.
“Gilanya datang lagi,” kata seorang peniaga di pondok juadah makanan laut ini, tiba-tiba ia sudah berada di belakang saya dan memulangkan baki wang kertas seratus ringgit yang saya bayar padanya sebentar tadi.
“Gila,” saya tidak faham.
Peniaga ini mengangguk, dan menambah; “Tapi ia sebenarnya baik hati. Semua orang di kawasan tamu ini suka berkawan dengannya. Kami juga mudah berurus niaga dengannya.”
Gila. Baik hati. Mudah berurus niaga.
Saya bertambah bingung.
Jika benar lelaki itu gila mengapa mereka menganggapnya baik hati. Sepatutnya lelaki itu tidak gila. Kemudian saya bersetuju dengan pendapat saya sendiri apabila difikir-fikirkan dengan cara gila lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun itu memang tidak gila. Orang yang berfikiran waras saja yang tergamak mengatakan lelaki itu gila. Orang yang berfikiran sebegini memang tidak senonoh. Saya lalu beredar dari pondok Sea Food Stall dan melangkah terus menuju ke tepi sungai, dekat jambatan yang menghubungkan kawasan tamu ini dengan pusat bandar.
Di situlah lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini sedang membakar unggun apinya. Sekarang saya dapat melihat mukanya dengan jelas kerana api unggunnya marak dengan kuat dan menghasilkan cahaya yang terang, sehingga mengundang perhatian ramai pengunjung. Kelkatu malam berterbangan, semakin banyak dan berterbangan mengelilingi lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini.
Sayang, kerana terlalu ghairah dengan cahaya dan kehangatan dari api unggun lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini banyak juga kelkatu malam yang terkorban ke dalamnya. Api unggun semakin marak dengan kuat. Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana tragedi ini berlaku seterusnya.
Saya faham bahawa di antara lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini dengan serangga ini sudah tentu mempunyai hubungan yang menarik. Mereka berkongsi cahaya dan  kehangatan di tengah-tengah kegelapan malam begini tentunya.
“Apa yang biskita buat,” tegur saya sebaik mendekati lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini.
“Saya sedang berdoa. Mohon kesejahteraan,”jawab lelaki ini sambil terkekek-kekek, masih tidak dapat menahan ketawanya. “Saya mahu anak-anak dan bini saya hidup dengan aman sejahtera.”
“Apa yang biskita pakai membakar,” tanya saya lagi.
“Duit!”
“Duit,” saya...
“Ya, duit. Kau tahu dengan cara ini sajalah saya mengambalikan kesejahteraan keluarga saya.”
“Kenapa tidak dibelikan makanan dan pakaian untuk mereka,” kata saya seperti seorang yang pandai-pandai.
“Itu semua sudah lebih dari cukup. Harta semua sudah lebih dari cukup. Tapi duit yang banyak ini tidak dapat memberi kami senang dan puas he he he he ha ha ha... Duit ini semuanya dikeluarkan dari neraka!” kata leläki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini lagi.
Saya tidak faham apa maksud kata-kata lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini sepenuhnya.
Dan saya juga tidak faham mengapa saya berasa sangat sayang dengan duit yang banyak lalu dibakar oleh lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini. Selembar demi selembar jatuh ke atas unggun dan apinya semakin marak dengan kuat.
Fikiran saya hampir-hampir tidak boleh digunakan lagi ketika ini.
Barangkali saya juga turut akan menjadi apa-apa kerana suka ambil tahu akan hal lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun yang aneh ini. Alangkah baik jika duit yang banyak ini diberikan saja pada saya, jadi sukalah saya menerimanya, fikir saya. Atau lebih baik buat derma dan sedekah amal pada mereka yang memerlukannya, dapatlah pahala.
“Kenapa tidak diberi pada anak-anak dan bini saja,” kata saya.
“Eh, kau gilakah. Mereka tidak memerlukan duit lagi. Mereka juga tidak memerlukan duit dari seorang bapa dan suami yang gila ini. Mereka sudah senang. Mereka pun sudah gila. Gila. Gila!” Lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini tiba-tiba berteriak dan terus memaki-hamun.
“Kau pun gila. Kau pun gila!” Lelaki kira-kira berusia lima puluh lima tahun ini terus memaki-hamun saya dengan perkataan yang bukan-bukan.
Saya terkejut. Saya berasa malu, lalu menjauhkan diri darinya; dan juga dari pandangan orang ramai yang memerhatikan perbuatan saya padanya. Saya mungkin sudah gila apabila suka mencampuri urusan orang seperti ini. Gila-gila-gila.
Saya tidak lagi mahu menoleh ke belakang dan terus berjalan cepat ke atas jambatan lalu menuju ke pusat bandar.
“Ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha ha he he he he he he he he he he he he he heh heh heh...!”
Saya dengar orang ramai kebanyakannya seperti sudah biasa memakai topeng di kawasan tamu ini, dan mereka sudah mula ketawa. Mereka mentertawakan saya. Saya berasa betul-betul sudah jadi gila, dan menyesal kerana datang ke kawasan tamu ini seorang diri.
“Hoi! Jangan banyak fikir, gila karang ha ha ha...”
Sekali lagi saya seakan terdengar kawan saya, Mad terus mentertawakan saya.


Ikuti cerpen Puasha yang lainnya: Mat Jenin Internasional | Temuduga | Hipotesis Gila | Maaf | Cinta Cinta Cinta: Satu Persoalan Mengenai Hukum Bercinta Di Internet  | Tuhan Maha Mendengar

Ulasan