Buku Penulis

Judul: Sebuah Pondok Di Bukit Kota Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Tahun: 2004 Muka Surat: 70Pp. Binding: Kulit Nipis ISBN 99917-0-341-1 Harga: BND$4.00

Sebuah novel yang menceritakan penggembaraan lima orang remaja pada musim cuti sekolah. Namun tidak seperti yang dirancangkan, aktiviti itu telah berubah menjadi trajedi dan menghalang mereka dari meneruskan minat untuk menjelajah bukit tersebut.

Bukit Kota bukanlah satu kawasan yang selamat, di sebalik kisah sejarah dan keindahan hutan yang mengelilingi puncaknya, bukit ini malah telah dijadikan sebagai satu tempat bagi kegiatan-kegiatan penyeludup untuk membawa masuk barangan tegahan ke negara ini.

Adalah diharapkan kelahiran novel remaja ini akan dapat menggamit minda dan naluri pembaca, khususnya golongan remaja untuk terus meneliti, menghayati, dan mengambil aktibar di sebalik cerita yang dipaparkan.


----------

Judul: Nakhoda Manis - Pelayaran Kedua Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Tahun: 2009 Muka Surat: 142Pp. Binding: Kulit Nipis ISBN 99917-0-666-6 Harga: BND$6.00

Menjejaki tahun 1980-an, Puasha mengorak langkah dengan mendedahkan dirinya melalui pengalaman hidup yang mengajarnya tentang hidup dan masa depan.

Tiap kali datang ke bandar,
hilanglah aku dari pandangan ibuku
yang mahukan anaknya ini
menjadi guru kepada keadaan, katanya
"Masa depanmu lebih kuharapkan."


Dipetik dari puisi Tiap Kali Datang ke Bandar

Sebagai seorang penulis, Puasha amat sedar akan tanggungjawabnya dan kesedaran itu pula telah membawanya menulis melalui jajaran puisi yang mengandungi makna yang tersirat di sebalik ungkapan ini;

Kita harus lalui gerbang ini
dengan keyakinan
meskipun berdamping bayang
yang meluluh sebahagian harapan
di jalanan yang panjang.


Dipetik dari puisi Gerbang

----------

[...] 
Sesekali kudengar gelak ketawa anak-anak muda di pondok taman ini. Mereka semuanya menghadap ke muara sungai yang kulihat mengalir lesu. Aku juga seakan melihat, jauh di hulu, anak sungai lebih deras alirnya. Lebih menderu tatkala mencelah di batu-batu karang yang melintangi arusnya. Jauh berbeza di sini, sampah hanyut di alurnya dan terdampar ke tepi tebing taman. Aku tidak tahu sampah ini hanyut dari mana dan ke mana. Ia telah mencemarkan keindahan taman.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!
Anak-anak muda di pondok taman mula berteriak.

Sudah agak lama juga tanah air kita ini mencapai kemerdekaan. Apakah ertinya kemerdekaan bagi mereka. Sebaiknya aku tinggalkan saja taman ini. Sementara kawan yang kutunggu belum juga muncul. Barangkali aku bukanlah seorang yang boleh bersabar dan menunggu begitu lama daripada janji yang telah kami tetapkan bersama. Ada pondok telefon telah disediakan di pintu masuk taman ini, aku menuju ke sana. Anak-anak muda di pondok taman kulihat mula menyalakan sebuah unggun api di depan pondok taman. Sebentar lagi mereka tentunya akan memulakan satu pesta bagi memeriahkan suasana malam yang sunyi ini. Biasanya pesta begini tidak perlu dirancang. Ikut sesuka hati, ikut mahu dan bebas dari segala persoalan yang merunsingkan fikiran. Aku mula mendengar suara kawanku sebaik saja penggilan telefon kubuat.

"Hai, janji orang Melayu memang selalu tidak tepat," kataku mengeluh. "Kau di mana?"
[...]

Dipetik dari Puasha. 2010. Kumpulan Cerpen Cetera Merdeka. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka. hal.34-35

----------

Judul: Sandiwara Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei Tahun: 2014 Muka Surat: 112p Binding: Kulit Nipis ISBN 978-99917-0-969-7 Harga: $5.00

Kumpulan Puisi Sandiwara, DBP: 2014 adalah merupakan lanjutan dari Kumpulan Puisi Nakhoda Manis: Pelayaran Kedua yang sebelum ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada tahun 2009 mengetengahkan kepelbagaian makna atau maksud yang tersirat dari penulisnya sepanjang tempoh 30 tahun melibatkan diri dalam penulisan puisi.

Bagi penulis, puisi adalah satu bentuk kata-kata berirama yang menyatakan pengalaman imaginatif, emosi, dan intelek. Apa juga cara penyampaiannya, puisi mewujudkan pengalaman yang sama dalam fikiran pembaca atau pendengarnya. Jika awda ingin mengetahui isi kandungan atau puisi yang termuat dalam Kumpulan Puisi Sandiwara ini dengan lebih dekat lagi, sila dapatkannya sekarang.


----------

Judul: Kumpulan Drama TV "Amanat" Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Tahun: 2015 Muka Surat: 228Pp. Binding: Kulit Nipis ISBN 978-99917-0-970-3 Harga: BND$7.00

PERKEMBANGAN MEDIA elektronik khususnya televisyen dan radio di negara ini telah membuka ruang dan peluang kepada penulis untuk menghasilkan karya-karya mereka melalui penulisan skrip drama radio dan televisyen. Ini adalah kesempatan yang sangat berharga kepada mereka yang meminati bidang ini.

Penciptaan skrip drama radio mahupun televisyen menuntut kepada keupayaan kreatif untuk menghasilkan skrip yang sempurna, baik dari segi babak, watak dan perwatakan, lokasi dan kejadian, aksi, visual dan kesan bunyi. Ini dengan sendirinya akan membentuk sebuah drama yang menarik untuk dipertontonkan dan dihayati kepada khalayaknya.

Kumpulan Drama TV Amanat mengandungi empat buah drama TV, iaitu "Amanat", "Kembali ke Pangkal Jalan", "Menentang Arus", dan "Selamat Hari Jadi Mona...". Kesemua skrip drama berkenaan pernah diolah dan diterbitkan oleh Unit Drama TV, Jabatan Radio Televisyen Brunei.

----- Dan lain-lain Buku Bersama Penulis -----


Ulasan