Cerpen 05



CINTA CINTA CINTA 
Satu Persoalan Mengenai Hukum Bercinta Di Internet 

            Sebaik sahaja selesai menduduki pengajian akhirnya di maktab, Dayang mengaku bahawa dia sedang hamil sekarang.
            Kami sekeluarga berasa sangat terpukul bagaikan dilanda ribut pagi yang sangat membimbangkan. Dayang baru saja berusia sembilan belas tahun, lahir sebagai seorang anak yang selalu mentaati dan menghormati kedua orang tua kami sebelumnya.
            Ia bermula ketika kami sekeluarga sedang duduk  di sebuah meja makan malam.
            Ayah yang kelihatan terkejut dan seakan-akan masih tidak percaya dengan pengakuannya itu, mula bersuara, “Baiklah. Kalau sudah begini jadinya, cepat-cepatlah kau kahwin, Dang. Anak siapapun dia, apapun bangsanya, kepercayaannya, agamanya - Melayu, Kedayan, Tutong, Dusun, Bisaya, Belait, Murut, Iban atau Cina -. aku tidak akan memilih dan membantah. Semuanya kuterima dengan hati terbuka.”
            Aku mula keliru, dan berasa pening kepala sebaik saja mendengarkan kata-kata ayah. Bagiku perkahwinan bukanlah suatu penyelesaian bagi kehamilan Dayang sekarang. Sebuah perkahwinan tidaklah semudah seperti yang difikirkan, dan ini sudah tentulah tidak lucu sama sekali.
            “Kahwin sajalah. Tidak perlu susah-susah mahu menyambung belajar ke universiti lagi.” Kata ayah, tanpa banyak soal dan seolah-olah sudah terkeluar dari akal sihatnya.
            Emak yang sejak tadi cuma menjadi pendengar mula bersuara, “Aku tidak benarkan kau kahwin dalam usia semuda ini, Dang. Aku tetap mahu kau belajar sampai ke universiti. Kalau sudah lulus, dapat kerja, terpulanglah apa yang kau mahu. Tapi kalau sudah begini jadinya, aku tidak tahu apa yang mahu kau lakukan sekarang.”
            “Aku tidak tahu mahu buat apa lagi.” Akhirnya Dayang bersuara, lemah dan seakan tidak bersemangat. “Diapun sudah lama tidak menghubungiku, dan aku juga gagal menghubunginya melalui nombor telepon bimbit yang ia berikan padaku dulu.”
            Lelaki itu, menurutnya lagi, adalah orang yang patut bertanggungjawab ke atas kehamilannya sekarang. Dayang sangat mencintainya, dan dia adalah seorang wira bagi Dayang. Mencintainya dengan sepenuh hati, walaupun sedar mereka berbeza bangsa, kepercayaan dan agama.
            “Kau belum pernah memperkenalkannya pada kami. Adakah kami pernah bersua muka dengannya,” kataku, setelah mendengar penjelasan darinya.
            “Kamu sama sekali tidak pernah mengenalinya, apatah lagi melihat kami keluar bersama kerana kami tahu kamu tidak akan merestui hubungan kami.”
            “Kenapa kami mesti melarangmu. Lihat, bukankah kau sudah hamil, Dang. Kalau dia tidak mahu mengakui perbuatannya, jadi siapa yang akan bertanggungjawab. Kau jangan jadi bodoh!” Emak mula meninggikan suara.
            “Ya, akulah yang bodoh, Mak. Akulah yang bodoh. Akulah yang bodoh-palui kerana tidak mendengar nasihat.”
            Aku lihat Dayang, adikku mula menangis tersedu-sedu, dan mengakui sesuatu yang tidak mungkin benar pada dirinya. Bagiku, dia tidaklah sebodoh itu. Tidaklah sepalui itu. Akan tetapi kerana rasa cinta cinta cinta itu selalu saja disalah ertikan dengan hal yang indah-indah, maka dunia ini mudah saja baginya. Seolah-olah dunia ini sudah menjadi milik sepasang kekasih seperti mereka. Inilah jadinya jika cinta cinta cinta telah merasuk akal dan fikiran, jiwa dan perasaan, serta hawa nafsu, maka hati mana yang akan dapat dikendalikan lagi.
            Oh, sungguh romantis sekali.
            “Siapa namanya,” tanya Ayah lagi, ringkas dan secara tiba-tiba.
            “Hadi Kurniawan.”
            Selesai makan malam, aku lalu mengurung diri di bilik tidurku dan mula melayari laman sesawang facebook di komputer ribaku. Aku lalu menemui lima Profile di laman sosial ini yang menggunakan nama Hadi Kurniawan. Profile pertama menyatakan ia seorang Literary Editor yang berasal dari Sumatera Utara, Republik Indonesia. Dan, tercatat  ‘Melukis Cinta Di Atas Pelangi’ sebagai pengenalan dirinya. Profile kedua pula merupakan seorang artis, ini sudah tentulah bukan orang yang adikku maksudkan. Begitu juga Profile ketiga, keempat, dan kelima yang merupakan laman-laman komuniti yang tidak ada kena-mengena dengan adikku.
            Cuma untuk beberapa minit, aku sudah mula berasa bosan dan mengantuk setelah membuat beberapa pencarian dan memeriksa setiap Profile yang menggunakan nama Hadi Kurniawan di laman sesawang facebook ini. Sehinggalah aku menemui salah satu Profile lagi - juga menggunakan nama Hadi Kurniawan - menyatakan berasal dari Jakarta Barat, Republik Indonesia, dan sekarang menetap di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam dan berkerja di salah sebuah syarikat komputer tempatan sebagai Computer Technician.
Melalui senarai rakan-rakan sosial facebooknya, sudah tentu sekali aku sangat mengenali gambar wajah adikku. Ya, aku sangat mengenalinya. Wajah adikku terpapar dengan jelas sehingga aku tidak perlu bertanya lagi padanya, walaupun dia senghaja menggunakan nama lain dari nama sebenarnya. Gadis Manja – Love Forever! Itulah nama Profile yang digunakan oleh adikku di Timelinenya, dan ketika menulis Status, Comments dan memberi Like di laman sesawang facebooknya.
            Sebagai abang, sejak menggunakan laman sesawang sosial ini, bagi memantau dan menjaga aktiviti sosial adik-adikku dari masa ke semasa, sejak mula lagi aku telah mempastikan Profile adik-adikku turut kumasukkan ke dalam senarai ‘Friends’ dan ‘Family’ ke dalam Profileku. Tetapi sekarang, apa yang harus kulakukan lagi. Mereka sudah mendapatkan apa yang mereka mahukan tanpa mempersoalkan sebab dan akibatnya. Ternyata setiap kemudahan, kesenangan, dan kebaikan yang ada serta rasa cinta cinta cinta di sebalik niat jahat yang berselindungkan kemanisan kata-kata cinta cinta cinta itu telah melemah dan merosak hati nurani dan maruah adik-adikku.
Kebebasan sosial telah berada di tangan mereka sepenuhnya tanpa kita sedari dan dapat dibendung lagi. Jadi, kita semua berada di mana sekarang. Sehingga tidur malammu pun terganggu oleh masalah demi masalah yang mungkin menyebabkan kau menjadi tidak waras lagi.
            Aku lalu memaksa diri keluar dari bilik tidurku, dan mendapati Emak masih berkemas di ruang dapur.
            “Mak! Mak lihat orang ini,” aku memanggil Emak untuk cuba memperlihatkan padanya satu Profile milik Hadi Kurniawan di laman sesawang facebook setelah terlalu lama memerhatikannya, dan ia terasa sangat menganggu sekali.
            “Di fesbuk!” Emak ternyata masih marah-marah, dan menoleh padaku.
            “F-a-c-e-b-o-o-k.” Aku bertegas, dan memaksanya masuk ke bilik tidurku dan melihat Profile orang yang bernama Hadi Kurniawan yang kutemui.
            “Inikah rupanya teman lelaki Si Dayang.” Kata Emak, memejam-celik kedua belah matanya untuk melihat lebih jelas di skrin komputer ribaku, dan membetulkan kacamatanya.
            “Gambar Si Dayang ada dalam senarai rakan-rakannya, Mak.”
            “Mana.”
            Aku mula klik pada butang Friends, dan gambar adikku mula terpapar di antara senarai rakan-rakan sosial Hadi Kurniawan.
            “Emmm, adikmu itu ternyata sudah gila,” Emak mengeluh. “Palui sudah!”
            “Dia masih waras, Mak. Belum palui,” aku cuba menenangkan hati Emak.
            “Kalau tidak palui, kenapa ia berkawan dengan lelaki macam ini.” Tegas Emak lagi. “Berapa umurnya. Dari mana asalnya.”
            “Tiga puluh enam tahun. Orang luar.”
            Emak tidak lalu berkata apa-apa lagi, lalu melangkah lemah keluar dari bilik tidurku, dan menyambung kerja mengemasnya di ruang dapur. Aku tidak tahu, apa lagi yang sedang bermain di dalam fikirannya. Sementara aku masih terus melihat Profile yang dimiliki oleh lelaki yang bernama Hadi Kurniawan, lalu klik pada ruangan mesej, dan menulis;

Salam sejahtera,
Setelah melihat profail saudara, yang kebetulan mempunyai minat dan profesion yang sama, saya sangat berharap untuk menjadi rakan dan berkongsi pengalaman dengan saudara melalui laman sosial ini. Sila tentukan sama ada saudara menerima atau menolak permintaan saya dengan sebeberapa segera.
Terima kasih.

            Aku berasa sedikit lega sebaik sahaja mesej ini selesai kutulis dan kuhantar kepada orang yang bernama Hadi Kurniawan itu. Sekalipun telah membohonginya dengan menyatakan ‘mempunyai minat dan profesion yang sama’ dan ‘sangat berharap untuk menjadi rakan dan berkongsi pengalaman’ dengannya. Aku cuma mahu agar dengan perkataan-perkataan itu nanti Hadi Kurniawan akan berasa lebih terbuka untuk menerimaku sebagai rakan sosialnya, dan aku sendiri akan lebih mudah mengetahui latar belakang orang di sebalik nama Hadi Kurniawan itu dan sejauh mana hubungannya dengan adikku, Dayang yang tiba-tiba saja hamil kerana cinta cinta cinta yang sebenarnya sama sekali tidak masuk akal bagiku, bagi Ayah dan Emak, dan bagi adik-adikku yang lainnya sekarang.
            Dua tahun yang lalu, Ayah dan Emak adalah orang yang paling berbahagia sekali sebaik sahaja mendapat tahu Dayang telah diterima masuk untuk melanjutkan pengajiannya di maktab. Ayah dan Emak jugalah yang secara sukarela menghantar Dayang untuk tinggal di asrama agar setiap masa pangajiannya di maktab itu dapat diikuti sepenuhnya. Segala keperluan pembelajaran Dayang disediakan, dan dibeli mengikut kemampuan. Termasuk membekalkan wang saku pada setiap awal bulan. Sehinggakan aku dan adik-adikku yang lainnya langsung berasa tidak ada yang kurang untuk Dayang menumpukan pengajiannya, dan untuk tinggal lebih lama di asrama penuh maktab itu bersama rakan-rakannya.
            “Lihat, Si Dayang sudah mula belajar berdikari sekarang,” kata Ayah, sebaik sahaja aku melihatnya sedang membaca buku di ruang tamu rumah kami dan mendapat tahu Dayang tidak dapat pulang ke rumah pada hujung minggu itu kerana mengikuti aktiviti pelajar di maktabnya. “Dia juga mempunyai subjek yang tidak kurang hebat kalau dibandingkan dengan subjek yang ada dalam aliran sains. Geografi, sejarah, syariah, usulluddin, MIB, bahasa English, dan bahasa Melayu. Tapi aku lebih suka anak-anak aku mempelajari MIB – Melayu Islam Beraja, kerana ia adalah falsafah negara kita.”
            Seingatku, selama ini ayah tidak pernah membeli buku dan membacanya,” tegurku.
            “Sampai bila kita tidak mahu berubah dan meluangkan masa untuk membaca buku.” Ayah mempertahankan dirinya. “Aku cuma berbelanja sepuluh ringgit untuk membeli buku ini, dan aku rasa Si Dayang perlu juga membacanya nanti, walaupun buku ini bukan rujukan wajib dalam pengajiannya.”
            Aku masih ingat buku yang Ayah baca ketika itu berjudul ‘Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melayu Islam Beraja – Brunei Darussalam’. Buku itu mempunyai tiga bab utama yang di antaranya membicarakan sejarah perkembangan MIB dalam menegakkan kedaulatan Brunei Darussalam, khususnya ketuanan Melayu, keutuhan Islam dan keberkesanan Beraja. Di samping memperjelaskan peranan yang dimainkan oleh MIB sebagai penggerak pentadbiran dan pengurusan negara, terutamanya dalam memartabatkan Islam sebagai dasar dan tunggak utama negara, serta konsep Islamisasi ilmu pengetahuan yang menjadi sebahagian kompenan MIB di bidang pendidikan.
            Isu-isu pengukuhan sikap bekerja, etika kerja dalam menjalankan tugas, keperluan kawalan dalam memajukan negara, perbandingan, impliakasi dan alternative dari pengurusan Barat kepada kepimpinan Islam juga telah dibicarakan. Begitu juga berkenaan dengan isu-isu ekonomi dan sosial yang menggambarkan kepekaan kerajaan dalam memeduli kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya. Pada keseluruhannya, menurutku buku itu memang sangat berguna kepada pelajar seperti Dayang, bagi mengenal sumbangan dan peranan Melayu Islam Beraja di dalam menegakkan kedaulatan, kemantapan dan pentadbiran negara ini, khususnya dalam era sebelum dan selepas kemerdekaan.
            Sehingga sekarang aku tidak pasti sama ada Ayah masih ingat tentang buku itu, dan mengingati tentang apa yang telah dibacanya, atau tidak. Yang pasti, Ayah sudah tentu sekali masih ingat setiap apa yang telah dikorbankannya untuk anak-anak dan isterinya; untuk keluarganya. Untuk Dayang, aku seakan melihat masih ada yang tidak berjalan seperti yang kami inginkan. Tentu sekali masih ada yang tidak betul. Masih ada yang tidak membenarkanmu tertidur lena, sementara orang-orang di sekelilingmu telah dibuai mimpi yang indah-indah dalam tidurnya. Menurut Emak, kalau diibaratkan sepohon buah, sudah tentu saja masih ada buah yang buruk atau cacat-celanya di sisi buah yang lainnya.
            Begitulah apa yang dapat kami gambarkan tentang adikku, Dayang yang kini baru saja berusia sembilan belas tahun, yang lahir sebagai seorang anak yang selalu mentaati dan menghormati kedua orang tuanya, sekarang sudah jauh berubah berubah berubah dari sebelumnya. Setahun setelah tinggal di asrama penuh dia selalu saja memberi alasan mengikuti aktiviti pelajar di maktabnya untuk tidak pulang ke rumah setiap kali tiba pada hari-hari di hujung minggu.
            Dayang sudah hamil lebih dari tiga minggu sekarang. Aku tidak tahu apa yang harus kami lakukan lagi untuknya.
            Aku sudah mula berasa letih, dan mengantuk.
            Untuk sementara, aku meluangkan waktu untuk terus melayari beberapa laman sesawang di internet dengan menaip kata kunci ‘cinta cinta cinta di internet’ di laman sesawang Carian Google, lalu menemui persoalan ini;

HUKUM BERCINTA DI INTERNET.

Kawan saya telah memperkenalkan saya dengan seorang lelaki hanya melalui internet. Pada mulanya saya sering bertanya tentang agama, lebih-lebih lagi tentang masalah yang saya hadapi. Ternyata lelaki tersebut adalah seorang ustaz, dan masih bujang.

Suatu hari, kawan saya juga bertanya mengenai agama kepada ustaz tersebut melalui emel. Dalam emel dia, kawan saya itu berusaha memperkenalkan saya dengan ustaz tersebut, dan ternyata ustaz tersebut ingin sekali berkenalan dengan saya. Hari-hari berlalu, perkenalan saya dengan ustaz tersebut masih berterusan walaupun hanya melalui internet.

Tidak lama kemudian, ustaz tersebut mengutarakan niatnya untuk berkenalan dengan saya lebih dekat atau secara istilahnya, bercinta. Tawaran dia saya terima dengan senang hati kerana akhlaknya yang baik dimana dia akan dapat membimbing saya ke jalan yang benar jika Allah SWT mempertemukan jodoh kami, dan inilah lelaki impian saya.

Suatu hari, dia ada mengirim emel kepada saya, dan emalnya ada mengatakan kata-kata sayang, salam rindu dan apa sahaja seperti layaknya orang yang sedang bercinta, dan saya pun membalas salam tersebut. Malah ustaz tersebut berniat untuk menemui saya dalam waktu terdekat ini kerana serius dalam hal ini. Entahlah, apa yang akan terjadi seterusnya. Wallahu a'lam.

Jadi, beberapa persoalan timbul dari perkara ini:

Bagaimana perlakuan saya dalam hal ini menurut ajaran Islam?
Apakah kata sayang dan seumpama dengannya diperbolehkan?
Bagaimana saya meyakini keimanan seseorang sementara saya hanya berkenalan melalui internet saja?

-Puteri-

Jawapan:

Rasa cinta dan kasih sayang merupakan fitrah yang tumbuh di dalam sanubari manusia bersama lahirnya manusia itu ke dunia ini. Perasaan timbul jika ada rangsangan dari luar, akhirnya kecenderungan itu akan lahir dalam bentuk sikap, reaksi ataupun ungkapan kata-kata.

Selalunya ungkapan kata-kata yang berlebihan tentang rasa kasih sayang ini antara lelaki dan wanita akan menimbulkan berahi dan dorongan syahwat yang akhirnya mengundang terjadinya perkara yang dilarang dalam Islam.

Ungkapan rasa cinta dan kasih sayang hanya sesuai dilafazkan bagi mereka yang telah bernikah, namun bagi mereka yang baru berkenalan bahkan hanya melalui internet, maka perkara ini merupakan perbuatan yang sia-sia dan merosakkan fitrah kasih sayang tadi.

Jadi batas hubungan antara lelaki dan wanita yang belum menikah ini cukup sekadar ingin mengetahui latar belakang seseorang yang diingininya sahaja. Apakah dia dari keturunan yang baik atau sebaliknya, apakah dia tergolong subur atau berpenyakit, kemudian apakah dia dari kalangan orang yang berada ataupun sebaliknya, dan yang terakhir ialah tentang agamanya, apakah dia tergolong orang yang taat kepada Allah SWT ataupun orang yang lalai dengan hukum-hakam Allah SWT.

Perkara yang paling penting dalam memilih pasangan hidup adalah melihat sejauh manakah calon suami atau isteri kita itu benar-benar menjalankan agamanya, sebab orang yang menjalankan agama dengan baik akan menjadi pasangan yang baik dan diredhai Allah.

Jadi mengucapkan kata-kata sayang dalam internet sama juga mengucapkan kata-kata itu ketika kita sedang berhadapan, jika ucapan itu dengan jelas untuk menggoda dan bahkan menumbuhkan dorongan untuk melakukan perkara yang tidak baik jika bertemu nanti, maka perkara ini dilarang dalam agama.

Sebaiknya jika benar-benar ikhlas ingin mencari pasangan hidup, boleh berjumpa dengan membawa muhrim, dan melihat keadaan pasangan tersebut, apakah memenuhi syarat dan kriteria yang  ditentukan agama seperti yang disebutkan diatas. Setelah itu lakukanlah solat istikharah agar pilihan kita itu benar dan diredhai Allah SWT. Wallahu a'lam.

            Memang banyak masalah sosial yang dikatakan berpunca dari penggunaan internet, dan aku sudah berasa tidak hairan lagi mengapa adikku, Dayang turut terjerumus dengan fenomena ini lalu mencalit arang ke muka kedua orang tuaku sekarang.
             “Baiklah. Kalau sudah begini jadinya, cepat-cepatlah kau kahwin, Dang. Anak siapapun dia, apapun kepercayaannya, agamanya, bangsanya - Melayu, Kedayan, Tutong, Dusun, Bisaya, Belait, Murut, Iban atau Cina -. aku tidak akan memilih dan membantah. Semuanya kuterima dengan hati terbuka.”
            “Kahwin sajalah. Tidak perlu susah-susah mahu menyambung belajar ke universiti lagi.”
             “Aku tidak benarkan kau kahwin dalam usia semuda ini, Dang. Aku tetap mahu kau belajar sampai ke universiti. Kalau sudah lulus, dapat kerja, terpulanglah apa yang kau mahu. Tapi kalau sudah begini jadinya, aku tidak tahu apa yang mahu kau lakukan sekarang.”
            “Aku tidak tahu mahu buat apa lagi.”
            “Diapun sudah lama tidak menghubungiku, dan aku juga gagal menghubunginya melalui nombor telepon bimbit yang ia berikan padaku dulu.”
            “Kau belum pernah memperkenalkannya pada kami. Adakah kami pernah bersua muka dengannya.”
            “Kamu sama sekali tidak pernah mengenalinya, apatah lagi melihat kami keluar bersama kerana kami tahu kamu tidak akan merestui hubungan kami.”
            “Kenapa kami mesti melarangmu. Lihat, bukankah kau sudah hamil, Dang. Kalau dia tidak mahu mengakui perbuatannya, jadi siapa yang akan bertanggungjawab. Kau jangan jadi bodoh!”
            “Ya, akulah yang bodoh, Mak. Akulah yang bodoh. Akulah yang bodoh-palui kerana tidak mendengar nasihat.”
            Semua perbualan kami ketika duduk di sebuah meja makan malam beberapa jam yang lalu kembali bergema di dalam benakku. Aku masih ingat semuanya. Masih ingat semuanya. Malah terus menganggu fikiranku untuk cuba beristirehat, dan mengisi malam ini dengan tidur yang penuh lena serta dibuai oleh mimpi-mimpi yang mungkin akan membawa kesejahteraan pada setiap ahli keluargaku.
            Siapakah teman lelaki adikku itu sebenarnya.
            Aku kembali membuka akaun laman sesawang facebookku, dan mendapati ada satu mesej sedang berada dalam ruangan Message. Aku lalu klik pada butang Inbox, dan ternyata Hadi Kurniawan sudah membalas mesej yang kuhantar sejak beberapa jam yang lalu. Dia menulis;

Salam sejahtera,
Apakah saya pernah mengenali saudara. Maaf, saya masih belum bisa tentukan permintaan saudara untuk menjadi rakan sosial saya buat pada masa ini.
Terima kasih.


Sumber Rujukan
Haji Duraman Tuah, 2001. Membangun Negara Berdasarkan Falsafah Melayu Islam Beraja – Brunei Darussalam. Bandar Seri Begawan: Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri. 

Ikuti cerpen Puasha yang lainnya: Mat Jenin Internasional | Temuduga | Hipotesis Gila | Maaf | Cinta Cinta Cinta: Satu Persoalan Mengenai Hukum Bercinta Di Internet | Tuhan Maha Mendengar

Ulasan