Cerpen 04



Temuduga

SEJAK menamatkan pengajian dari Institusi Pendidikan Tinggi di luar negeri dengan memperolehi kelulusan HND, Sang Penganggur masih belum juga mempunyai sebarang jawatan pekerjaan. Sudah tiga tahun mencari, Sang Penganggur masih ingat jawatan pekerjaan mana saja yang tidak pernah dilamarnya, dan di syarikat atau di jabatan mana sahaja yang tidak pernah dijejakinya. Hampir semuanya pernah, pernah dan pernah.
Dan, selama tiga tahun ini sahaja sudah tentulah Sang Penganggur cuma bergelar  ‘penganggur’, kerana masih belum mempunyai sebarang jawatan pekerjaan. Gelaran ini sudah tentu sekali tidak disenangi oleh sesiapa pun. Bahkan, keluargamu amat benci dengan seorang penganggur yang tidak mempunyai sebarang jawatan pekerjaan sekarang. Apatah lagi jika penganggur itu mempunyai kelulusan yang baik-baik, dan pernah belajar di Institusi Pendidikan Tinggi di luar negeri.
Ibubapamu sudah tentu akan terus berdukacita selagi anaknya cuma hidup menganggur, setelah bersusah payah memberi biaya pelajaran untukmu. Para pegawai hingga ke peringkat menteri di kementerian-kementerian kerajaan juga akan menghadapi masalah apabila mendapati setiap tahun bilangan anak-anak muda kita semakin ramai yang menganggur. Akhirnya, siapakah yang akan bekerja dan bakal menjadi pemimpin bangsa kita di masa hadapan kelak.
Kadang-kadang Sang Penganggur berasa kecewa, dan diserang stress. Kepalanya sering berasa sakit-sakit apabila memikirkan nasibnya selama ini. Suatu waktu, Sang Penganggur pernah mahu bunuh diri. Tapi kerana masih percaya dengan kuasa Tuhan dan takut dengan dosa, makanya Sang Penganggur masih hidup sampai sekarang. “Hah! Mungkin rezekiku belum sampai lagi,” kata Sang Penganggur setiap kali menerima surat jawaban yang menyatakan kegagalannya dari setiap jawatan pekerjaan yang pernah dilamarnya.
Apabila terlalu berasa kecewa dan diserang stress, Sang Penganggur begitu mudah mengambil rokok, dan merokok. Bahkan, kini Sang Penganggur sudah pun ketagih rokok. Sang Penganggur akan terus merokok, merokok dan merokok, selagi nalurinya berasa belum puas dengan rasa nikotin yang ada pada asap rokok. Dan, setelah itu Sang Penganggur akan berasa lebih kuat dan lebih bersemangat untuk hidup dan percaya rasa kecewa dan stressnya akan terubati.
“Jangan teluan besigup ani, Mil. Inda jua selasai masalahmu atu karang. Inda jua baik untuk kesihatan. Mun sakit karang, betambah lagi susah,” tegur Mak Kiah, Sang Ibu yang tidak pernah serik memberi perhatian dan sokongan pada Sang Penganggur.
“Eh sasakku, Bu!” kata Sang Penganggur mengadu. “Inda ada ideaku lagi kan mencari keraja ani. Abis kumuh sudah sijil-sijilku atu kubawa interview. Inda jua kukana terima bekeraja.” Ketika itu Sang Penganggur terus merungut, lalu menghembus asap rokok yang telah disedut hingga ke ruang paru-parunya dengan penuh emosi. Sang Penganggur tetap berasa tidak puas hati, dan tidak sekali memandang ke muka Sang Ibu.
“Awu, inda ku tau lagi nasibmu ani, Mil. Selama tiga tahun ani sudah kau menanam anggur nganya. Berladang anggur. Beniaga anggur. latah menjadi penganggur nganya. Aku pun apa buleh kubuat. Cuma menesihati kedikau, jangan kau salah faham,” kata Sang Ibu, lalu melangkah ke ruang dapur, meninggalkan Sang Penganggur terbatuk-batuk, terbatuk-batuk dan terbatuk-batuk dan terus menghisap rokoknya di ruang tamu.
“Ubah tah perangai, ubah tah sikap, baiki penampilan dan lagi terus tah berusaha.” Terdengar lagi suara Sang Ibu dari ruang dapur, seolah-olah ia lebih pandai dan pernah menghadapi masalah yang Sang Penganggur alami.
“Tapi jangan tah kau ingau, Mil. Mun pasal makan-minum, pakai-memakai, tinggal beteduh di rumah ani, mun berezeki, mun balum ajal - hidup kitani lakat. Walaupun inda sanang, mewah macam orang kaya. Inda pun kau bekeraja baik, bejawatan, begaji, asal saja kau jangan mencari ulah yang inda betantu. Makan dadah tah misalannya, merogol anak dara orang macam Si Anu anak Si Anu atu – bezina, apatah lagi menjadi penipu, perasuah, pecah amanah. Orang-orang macam ani banyak kitani tedapat, tapi dibari bejawatan macam orang baik, macam orang bepelajaran, macam orang alim. Sepatutnya durang ani yang dibari tinggal di dalam penjara. Baik lagi kau, Mil. Perasaanku batah-batah ani, walaupun kau menganggur inda kali-kali kau pernah menyusahkan indung,” Sang Ibu terus kedengaran bercakap-cakap.
Dan sehingga kini, Sang Penganggur masih terus teringat cakap-cakap Sang Ibu dengan baik.
Ketika Sang Penganggur berada di pekarangan menara bangunan Syarikat Pelita Amas, jam di tangannya sudah menunjukkan waktu pada pukul tujuh empat puluh lima minit pagi. Dan untuk sekian kalinya Sang Penganggur menyemak lagi hari, jam, tarikh dan tempat sesi temuduga yang tercatat pada Surat Panggilan Temuduga yang telah diterimanya sejak tiga minggu yang lalu. Memang tepat - Hari: Rabu. Jam: 8.30 am. Tarikh: 14hb. Disember. Tempat: Di Bilik Temuduga, Tingkat 11, menara bangunan Syarikat Pelita Amas. Ini bererti Sang Penganggur telah sampai lebih awal dari waktu yang ditetapkan.
Sang Penganggur lalu melangkah cepat naik ke Tingkat 11, menara bangunan Syarikat Pelita Amas untuk segera melapor diri di Reception Desk. Di situlah Sang Penganggur diminta menyerahkan semua sijil-sijil yang difikirkan perlu dan yang fikirkan akan membantu melayakkan dirinya untuk mendapatkan jawatan yang telah dilamarnya sejak tiga bulan yang lalu itu.
“Ani saja sijil-sijil biskitakah.” Tanya Sang Kerani Pejabat, seorang gadis yang masih muda dan cantik, sebaik sahaja Sang Penganggur menyerahkan kesemua sijil yang dimilikinya dari dalam fail peribadinya.
“Awu...” Kata Sang Penganggur, mengangguk dan terpesona memandang wajah Sang Gadis, Kerani Pejabat.
“Inda lagi ada kan sijil-sijil biskita yang terbaharu.”
“Eh, inda ada. Ia tah nganya ni. Kediaku batah-batah ani menganggur nganya.”
“Nda pernah bekeraja.” Tanya Sang Gadis, Kerani Pejabat lagi, seperti tidak faham dengan apa yang Sang Penganggur maksudkan.
“Inda.”
“Bah, tinggalkan saja sijil-sijil biskita di sini. Agatah biskita masuk ke Bilik Menunggu. Kalau nama biskita dipanggil karang ertinya giliran biskita tah masuk ke Bilk Temuduga tu.” Kata Sang Gadis, Kerani Pejabat, suaranya lemak-merdu dan seakan terus berbisik-bisik ke telinga Sang Penganggur.
Sebaik sahaja masuk di Bilik Menunggu, Sang Penganggur lalu mengambil tempat duduk di kerusi barisan belakang. Suasana dan hawa dingin di dalam Bilik Menunggu mula dirasakan. Agak senyap, dan malah sejuk. Sang Penganggur mula menggeletar dan memandang alat air-condition yang di-on-full di sudut ceiling Bilik Menunggu.
Bilik Menunggu ini memang tidak banyak berubah setiap kali Sang Penganggur dipanggil datang untuk ditemuduga sejak tiga tahun yang lalu. Di hadapan ruang ada sebuah rak yang menempatkan naskah-naskah newsletter, majalah dan surat khabar. Semuanya disediakan untuk calon-calon temuduga yang mungkin juga mahu mengisi masa menunggu dengan membaca. Sementara di sebelah kiri ruang telah dibahagi oleh papan pembahagi ruang untuk calon-calon temuduga wanita.
Sang Penganggur jelas dapat mendengar suara tiga, empat ke lima orang darinya sedang berbual-bual. Sesekali mereka ada menyebut tentang pengelaman mencari kerja dan ditemuduga, tentang kelulusan, tentang pengangguran, tentang rasa tidak puas hati dengan jawatan dan gaji yang sedang diterima sekarang, tentang masalah menghantar anak ke sekolah, dan akhirnya Sang Penganggur juga terdengar keluhan salah seorang darinya mengadu bahawa lakinya sudah mulai mengadakan hubungan sulit dengan anak gadis dan wanita lain, semata-mata kerana dia tidak mempunyai kerjaya yang menarik.
Sang Penganggur cuma memakukan dirinya. Kedua-dua belah lengannya memeluk tubuhnya yang kurus macam lidi. Suasana dalam di Bilik Menunggu dan hawa sejuk membuatkannya menggeletar kedinginan. Dan memang sedari tadi Sang Penganggur tidak sendirian di Bilik Menunggu ini.  Ada tujuh orang lagi calon lelaki lain yang sedang duduk menungu di kerusi barisan tengah dan depan. Mereka juga kelihatan gelisah, dan dalam diam-diam melayan perasaan masing-masing. Ya, sudah tentulah mereka juga menyimpan perasaan bimbang apabila waktunya berhadapan dengan Sang Pegawai yang menemuduga.
Bagi Sang Penganggur perasaan bimbang itu tentu sahaja kerana ada bermacam-macam andaian yang timbul. Misalnya, apakah nanti yang akan disoal oleh Sang Pegawai yang menemuduganya. Adakah dia mempunyai kelayakan yang diperlukan. Apakah dia mempunyai penampilan yang menarik. Dan, untuk ini sudah tentu sahaja ada bermacam-macam andaian, dan sebarang jawaban yang patut dijawab belum pasti ada dalam otak kepalanya. Sang Penganggur lebih suka berfikir secara subjektif. Ya, ada kalanya Sang Penganggur berasa sudah cukup bersedia dan yakin-percaya dengan dirinya.
“Ceritakan saja siapa dirimu yang sebanarnya. Kalau bercakap baik tah bejujur dan betarus tarang, jadi kenampakkan jua dirimu atu orang yang pintar dan beguna arah bisdurang,” Sang Penganggur masih teringat kata-kata Sang Ibu memberi pesan kepadanya sebelum berangkat meninggalkan halaman rumah mereka pada pagi itu sebelumnya.
Setelah hampir dua jam setengah duduk menunggu barulah nama Sang Penganggur dipanggil melalui speaker yang dihubungkan terus ke Bilik Menunggu. Sang Penganggur cepat-cepat berdiri, membetulkan tai dan pakaiannya yang memang sudah kemas itu. Sang Penganggur segera meninggalkan ruang Bilk Menunggu dengan dada yang berdebar-debar, lalu melangkah ke lorong yang menempatkan bilik-bilik temuduga. Sang Penganggur mencari nombor Bilik Temuduga seperti yang dilaungkan melalui speaker ketika namanya dipanggil di Bilik Menunggu. Tiba di Bilik Temuduga nombor tiga, Sang Penganggur lalu mengetuk, menolak daun pintu lalu menjenguk ke dalam Bilk Temuduga.
“Selamat pagi tuan. Minta kebenaran untuk masuk temuduga,” sapa Sang Penganggur. Suaranya sedikit bergetar dan mula melangkah masuk. Sebentar ia berdiri tegak melihat tiga orang pegawai yang cuma memandang serious ke arahnya.
“Silakan duduk.” Kata lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah. Sang Penganggur lalu duduk di kerusi yang disediakan dan meletakkan fail peribadinya di atas meja.
“Kenalkan, saya adalah Pembantu Pegawai temuduga yang menemuduga awang pada hari ani,” kata lelaki yang duduk di sebelah kiri lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah. Tubuhnya kecil dan berkemeja hitam.
“Dan yang di sebelah saya ialah Pengerusi, merangkap Ketua Jabatan kami di sini. Manakala di sebelah sana pula ialah Pegawai Jabatan.”
Sang Penganggur mengangguk dan mengatakan “Ya, saya,” ketika memandang pada wanita yang berkain tudung berwarna biru, Si Pegawai Jabatan yang duduk di sebelah kanan lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah.
Kemudian lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah kembali bersuara. Suaranya tenang dan gayanya bercakap membuat Sang Penganggur berasa sedikit gugup.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada awang kerana hadir di sesi temuduga kita pada hari ani, dan saya rasa ada baiknya jika awang memperkenalkan diri awang kepada kami terlebih dahulu. Silakan.”
Jantung Sang Penganggur mula berdegup kencang, akan tetapi ia tetap mengawal dirinya agar sentiasa kelihatan tenang dan yakin. Saat itu juga otaknya sudah berputar ligat dan memaksa dirinya untuk bercakap di hadapan lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah.
“Nama penuh saya Awang Jamil bin Abdullah. Berumur dua puluh enam tahun. Berpendidikan Melayu dan Inggeris hingga memperolehi kelulusan HND di Institusi Pendidikan Tinggi di luar negeri. Sudah tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan. Ayah saya sudah pencen dari jawatannya di jabatan Kerajaan dan ibu saya tidak pernah makan gaji di mana-mana, dia cuma suri rumah tangga sepenuh masa dan tidak pernah menerima pendidikan secara formal.”
“Dari data yang kami terima di sini ani, nampaknya awang telah banyak kali memohon jawatan-jawatan kosong yang ditawarkan,” kata lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah, sambil melihat cetakan data di kertas-kertas A4 yang ada bersama sijil-sijil Sang Penganggur.
Sang Penganggur sendiri jelas dapat melihat cetakan data di kertas-kertas A4 itu semuanya diprint dari data yang disimpan dalam sistem berkomputer. Maka dalam diam-diam Sang Penganggur mengiakan kata-kata lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah itu, dan menunggu pertanyaan seterusnya.
“Boleh beritahu kami jawatan yang awang pohon sekarang ani,” tanya lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah itu lagi.
“Tukang Kebun.” Jawab Sang Penganggur.
“Kenapa awang memilih jawatan ani. Kenapa inda memohon jawatan yang bersesuaian dengan kelulusan awang? Saya berasa bimbang jika awang diterima bekerja dengan jawatan ani karang kami takut awang akan mencari jawatan lain lagi kerana awang sudah tentu inda berpuas hati dengan kerjaya ani termasuk gaji yang diberi indalah besar sangat.” Kata lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah.
“Sebenarnya saya sudah bosan memohon jawatan yang saya fikirkan bersesuaian dengan kelulusan yang saya perolehi kerana saya sering tidak bernasib baik. Dan selalunya kelulusan saya atu inda memenuhi syarat-syarat jawatan yang diiklankan oleh pihak tuan. Saya berasa serba-salah sebab tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan mana-mana pihak. Tambahan lagi bukan senang mahu dapat jawatan pekerjaan sekarang ani.”
Lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah kelihatan mengangguk-angguk kepalanya sambil membaca data yang dicetak di kertas-kertas A4 di depannya.
“Dari data yang ada ani, awang sudah pernah memohon jawatan Pegawai Teknik, Guru, Penolong Pegawai Penyelidik, Kerani, Pembantu Pejabat, Pengarang, jurugambar, Pengawal Keselamatan, Pemandu, Pembersih dan banyak lagi.”
“Awu. Saya memang pernah memohon jawatan-jawatan atu sejak tiga tahun yang lalu.” Sang Penganggur mengaku.
“Jadi memang benarlah awang inda pernah bekerja di mana-mana jabatan sekarang ani dan sudah banyak jawatan yang dipohonkan, tapi inda bernasib baik. Jadi apa tah awang buat selama menganggur tiga tahun ani?”
“Saya cuma menganggur...”
“Kami tahu, tapi sudah tentu ada perkara yang awang lakukan selama menganggur atu. Indakan cuma duduk diam-diam saja di rumah, makan dan tidur setiap hari.”
“Ada. Saya membantu ayah dan ibu saya bekerja di ladang dan berjaja di pasar.”
“Bagus jua kerja atu. Apa agaknya tanam-tanaman yang ada di ladang ayah dan ibu awang.” Kali ini lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah merenung tajam ke wajah Sang Penganggur.
“Sayur-sayuran, ubi, jagung, pisang dan macam-macam...”
“Oh, I see.”
“Hasil ladang atu kami jual ke pasar. Ayah dan ibu saya memang menaruh harapan pada hasil ladang atu, sebab mereka mahu mengumpul duit untuk menunaikan fardu haji ke Mekah,” kata Sang Penganggur, telus.
“I see...”
“Saya sebagai anak sulung berasa harus membantu untuk mencapai hasrat murni ibubapa saya atu. Jadi saya jua menaruh harapan untuk mempunyai jawatan dan pekerjaan tetap, dan menyimpan separuh dari gaji saya untuk bisdurang. Adik-adik saya masih bersekolah dan perlu dibantu.”
“Adik-beradik berapa orang.”
“Sembilan orang.”
Lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah mula melepaskan pandangannya dari wajah Sang Penganggur. Ia menarik nafas panjang dan menundukkan kepalanya, seperti bertikir untuk bertanyakan hal-hal lain mengenai peribadi Sang Penganggur seterusnya. Tangan kanannya yang memegang sebatang pena kelihatan kaku, seperti tidak memperolehi apa-apa fikiran untuk dicatat ke dalam data yang dicetak di kertas-kertas A4 yang ada di depannya.
Ruang di Bilik Temuduga terasa sungguh sunyi sekali. Sang Penganggur turut menarik nafas panjang, dan diam. Perasaannya bercampur-baur, antara perasaan kecewa dan perasaan-perasaan yang dipenuhi dengan harapan yang tinggi menggunung. Sesekali Sang Penganggur berasa kesal. Kesal kerana telah terlalu banyak bercakap tentang dirinya, dan juga mengenai keluarganya yang sebenarnya bukanlah terlalu susah atau miskin untuk mencapai sebuah kehidupan yang diimpikan selama ini.
Beberapa saat kemudian lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah memandang pada rakannya yang sedari tadi duduk diam di sisi sebelah kanannya. Dia seorang wanita, telah diperkenalkan pada Sang Penganggur dengan nama Puan Kamariah, Si Pegawai Jabatan. LeIaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah lalu memberi peluang kepada Si Pegawai Jabatan untuk bertanyakan beberapa soalan kepada Sang penganggur.
“Boleh awang beritahu kami, kenapa agaknya awang berminat dengan jawatan Tukang Kebun ani.” Tanya Si Pegawal Jabatan dengan suara yang sungguh jelas, ringkas.
“Kenapa. Ya, kerana saya berasa yakin jawatan ani memang sesuai dengan pengalaman saya sebagai pembantu ayah dan ibu saya di ladang mereka selama tiga tahun ani. Jika saya cuma mengharapkan kelulusan dan memilih pekerjaan, saya rasa sampai bila-bila pun saya tidak akan berjaya. Lagi pun sekarang ani bukan mudah untuk mencari pekerjaan yang baik-baik dan bergaji tinggi. Tukang Kebun pun dipandang mulia daripada seorang penganggur.
“Apa sebenarnya tugas-tugas sebagai seorang Tukang Kebun.”
“Menyediakan semaian, menjaga kesuburan pokok-pokok dan kawasan landskap dalam keadaan bersih dari rumput-lalang.”
“Awang tahu cara-cara menyediakan semaian.”
“Penyediaan semaian bermula dari benih atau dengan menggunakan ranting induk untuk dicantum dengan anak-anak pokok yang disemai. Kaedah ini dinamakan pokok kahwin.”
“Bagaimana pula dengan penjagaan kesuburan pokok.”
“Menggunakan baja. Ada dua jenis baja yang saya tahu. Baja organik dan baja urea. Baja-baja ani digunakan mengikut sukatan dan umur pokok yang ditanam.”
“Awang tahu menggunakan mesin pemotong rumput.”
“Tahu.”
Si Pegawai Jabatan lalu kelihatan tersenyum, dan memandang lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan bersongkok
“Jika sekiranya mesin pemotong rumput yang awang gunakan bermasalah atau rosak, adakah awang boleh membaikinya. Saya bertanyakan soalan ani sebab ada juga pekerja yang sedia ada yang tidak tahu mengenai mesin pemotong rumput. Jadi ani pun menjadi masalah jika sekiranya awang inda ada mempunyai kebolehan lain, dan sebagainya.” Lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah kembali menyoal. Kali ini ia duduk menyandar di kerusinya, kelihatan relax dan bersahaja memandang ke arah Sang penganggur
“Saya sudah biasa menggunakan mesin pemotong rumput dan boleh membaikinya jika sahaja kerosakan atu masalah kecil.” Kata Sang penganggur, yakin dengan kebolehannya.
Lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah kelihatan mengangguk-angguk kepalanya.
“Baiklah. Kami rasa inda ada lagi yang patut kami tanyakan pada awang. Ada sebarang pertanyaan dan sebagainya berkenaan dengan jawatan ani.”
“Inda ada.”
“Okey. Setakat ani sahaja, dan terima kasih kerana minat awang dengan jawatan ani,” kata lelaki yang duduk di tengah-tengah, bertubuh besar dan berkopiah lalu menyerahkan kembali sijil-sijil kelulusan milik Sang Penganggur.
Setelah itu Sang Penganggur segera keluar meninggalkan Bilik Temuduga, dan ia berasa seperti telah melaksanakan satu tugas yang amat bermakna dalam hidupnya.
Sang Penganggur melangkah terus melalui lorong bilik-bilik temuduga, Bilik Menunggu, dan Reception Desk di Tingkat 11, lalu menuruni tingkat menara bangunan yang serba mewah hingga ke lantai bawah. Sesekali, Sang Penganggur berasa bingung dan fikirannya melayang-layang jauh, melayang-layang jauh, melayang-layang jauh dan tidak pasti akan berhenti ke mana. Namun ia masih mampu tersenyum, tersenyum dan tersenyum puas dalam setiap jarak langkahnya meninggalkan menara bangunan Syarikat Pelita Amas yang tersergam indah.

***Cerpen ini telah disunting dari naskhah asal setelah terbit dengan judul yang sama di Media Permata, Rabu 25 April 2007.


Ulasan